Tuesday, November 8, 2016

MENGURUS MASA




Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”

Surah ini di antara surah-surah yang pendek yang terdapat dalam al-Quranul Karim dan surah ini juga menjadi seringkali dibaca oleh ulamak-ulamak, dibaca oleh pendakwah-pendakwah atau pun penda’i-penda’i. 

Suatu ayat yang mempunyai pengajaran yang sangat besar khususnya apabila kita membaca dan merenung di bulan Ramadan al-Mubarak. Ada pendakwah yang menulis di bulan Ramadan berhubung dengan tajuk ‘waktu Muslim berada di bulan Ramadan’.
Berpandukan kepada ayat yang kita baca tadi menunjukkan bahawa ramai di kalangan manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang tertentu yang disifatkan oleh Allah di dalam ayat yang sama dan juga di dalam ayat-ayat yang lain. Maka para ulamak mengatakan bahawa waktu itu adalah sangat berharga.

Waktu adalah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia apatah lagi di bulan Ramadan ia lebih mulia lagi dan lebih berharga lagi.

Terdapat kata-kata daripada orang-orang Arab yang mengatakan bahawa waktu itu samalah seperti pedang sekiranya kamu tidak memotong maka dia akan memotong kamu dan sekiranya kita muhasabah kita merenung dan kita mengkaji khususnya kepada diri kita sendiri sejauh manakah kita telah mengisi waktu-waktu yang ada yang dikira sebagai nikmat Allah.

Ada kalangan manusia yang tidak sempat mengejar waktu, tidak ada masa bagi mereka kerana amal dan kerja yang terlalu banyak. Ulamak-ulamak menyatakan bahawa khususnya orang-orang yang berjuang di jalan Allah mesti merancang waktu. 

Nabi Muhamad SAW sama ada ketika berada di Mekah atau di Madinah Allah menurunkan ayat untuk mengingatkan nabi dan para sahabat RA bahawa waktu itu terlalu berharga. Allah bersumpah dan Dia menyebut ‘Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kerana tidak merancang waktu dengan baik maka Islam ajaran yang sempurna telah mewajibkan kepada manusia supaya beriman kepada Allah lalu ditetapkan kewajipan-kewajipan yang wajib diikuti. 

Ada kewajipan ibadat mengikut waktu. Ada ibadat harian seperti sembahyang lima waktu. Ada ibadat mingguan seperti sembahyang Jumaat, ada ibadat tahunan seperti puasa Ramadan dan ada ibadat sekali seumur hidup seperti haji bagi yang mampu.
Berdasarkan ibadat-ibadat ini bermakna Allah menyuruh kita mengurus masa dan merancang masa dengan sebaik-baiknya. Mendahulukan apa yang perlu didahulukan. Kelemahan manusia pada hari ini ialah tidak mengurus masa dengan bijak.

Setiap orang beriman bukan sahaja wajib beriman kepada Allah tetapi ada masanya dia kena berfikir tentang kebesaran Allah. Berfikir kebesaran Allah dengan melihat kejadian Allah. Apabila melihat langit dan bumi, melihat pohon kayu, melihat binatang dan lain-lain makhluk Allah itulah dalil kebesaran Allah. Inilah dalil bahawa Allah itu satu. 

Ada masanya kita beribadat, masuk waktu sembahyang kita sembahyang dan lebih besar pahalanya sembahyang berjemaah setiap waktu.

Ada masa untuk bertaubat kepada Allah. Bertaubat dengan makna mengadu kepada Allah, menyesal dan berazam tidak mahu mengulang lagi kesalahan yang dilakukan. Setiap hari dia bertaubat kepada Allah sudah tentu keperibadiannya akan menjadi seorang yang berubah apa lagi kepada warga emas. Ini ditambah pula dengan ibadat puasa yang menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah.

Seseorang Islam itu mestilah mencari ilmu, menambah ilmu dengan mendengar kuliah, mendengar tazkirah, mendengar ceramah, majlis usrah atau melalui membaca kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak-ulamak, tazkirah dalam wasap, dalam blog atau melalui keset-keset agama yang boleh dipasang di rumah dan di dalam kereta, atau melalui telefon tangan atau video atau youtube. 

Banyak sumber yang boleh kita perolehi di zaman kita ini. Menuntut ilmu agama tidak ada noktah.

Kita perlu pula menyampaikan kepada anak isteri kita, kepada ibu-bapa, kepada jiran kita, kepada kawan-kawan kita dan kepada sesiapa sahaja yang boleh kita sampaikan. Menjadi kewajipan kepada bapa mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang baik, yang taat kepada Allah di samping memberi makan minum yang halal.

Seseorang muslim mestilah mengatur kehidupan dia dengan berzikir, membaca Quran dan dengan memperbanyakkan doa apatah lagi di bulan Ramadan ini. Kita mengatur juga waktu kita dengan menziarahi kaum keluarga, sahabat handai dan bergaul dengan masyarakat dan menerima pandangan daripada orang baik-baik, daripada orang yang salih. 

Jika dia seorang pendakwah dia mesti mengingatkan manusia kepada Islam, memperbanyakkan doa untuk diri dia, untuk keluarga dan untuk orang ramai khususnya mereka yang mendengar dakwahnyna supaya mereka mudah menerima Islam.

Kalau dia seorang pemimpin maka dia hendaklah mendidik orang dibawahnya, mendidik rakyatnya, penyokongnya dengan Islam, dengan Quran dan dengan hadis, kadang-kadang dengan teguran dan dengan nasihat dan seterusnya. Di samping itu pemimpin mestilah ada perasaan sayang kepada penyokongnya, menolong dan memaafkan mereka. 

Nabi SAW walaupun sibuk berdakwah dan mendidik dia memaafkan dan Allah menurunkan ayat kepada nabi SAW supaya memaafkan mereka dan sanggup menerima teguran untuk memajukan Islam, memajukan umat dan memajukan Jemaah.

Masa adalah penting dan dibahagikan mengikut kadar, mengikut kedudukan seseorang itu. Jika ayah hendaklah menjalankan tugas sebagai seorang ayah, kalau ibu sebagai ibu, seorang pendakwah dengan sifat pendakwah, jika pemimpin dengan tugas seorang pemimpin, jika kerajaan tugas sebagai kerajaan. Antaranya amal makruf dan nahi mungkar yakni menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar.

Ini adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang disebut oleh ulamak-ulamak untuk menjadi suatu peringatan dan suatu pengajaran kepada kita khususnya di bulan Ramadan al-Mubarak dan dipanjangkan ke bulan-bulan yang lain.
Mudah-mudahan di bulan Ramadan ini kita banyakkan muhasabah dan beramal dan melakukan amal kita dengan ikhlas kepada Allah SWT. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment