Wednesday, November 9, 2016

PERKARA YANG BERLAKU DI AKHIR ZAMAN


Maksud Hadis riwayat At-Tabrani:

Dari Muaz bin Jabar RA katanya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: “Ambillah pemberian orang selagi pemberian itu adalah pemberian yang sebenar. Sekiranya pemberian itu rasuah dalam perkara agama maka jangan kamu mengambilnya nescaya terhalang kamu daripada menjadi fakir, menjadi bangsat dan papa kedana.”

Ingatlah sesungguhnya tunggak paksi yang menahan Islam itu akan berpusing maka bepusinglah kamau dengan Islam. Ingatlah kitab al-Quran akan berlawanan dengan mereka yang memerintah maka kamu hendaklah bersama dengan Quran.

Ingatlah akan ada di kalangan pemimpin-pemimpin yang berkuasa yang beramal untuk mereka bukan untuk kamu. Sekiranya kamu mentaati mereka, mereka menyesatkan kamu. Sekiranya kamu menentang mereka akan membunuh kamu. 

Lalu para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah yang perlu kami lakukan sekiranya bertemu keadaan begitu rupa.”

Sabda Rasulullah SAW: “Jadilah kamu seperti sahabat-sahabat nabi Isa AS walaupun mereka disole pada kayu-kayu dan dibelah dengan gergaji mereka tidak berganjak. Sesungguhnya mati dalam keadaan taat kepada Allah lebih baik daripada dalam keadaan derhakakan Allah.”

Hadis ini menunjukkan perkara yang akan berlaku di akhir zaman yang diberitahu oleh nabi SAW kepada umatnya supaya umatnya jangan berganjak dengan agama Islam, berpegang dengan petunjuk yang ditinggal oleh nabi SAW yang ada di dalam Quran dan hadis nabi SAW.

Pemberian:

Akan tiba satu zaman manusia akan menggunakan harta benda, wang, emas dan perak untuk menarik orang supaya menjadi sesat. Sekiranya pemberian yang diberi kepada kamu itu adalah pemberian yang halal yang diizinkan oleh syarak maka kamu diizin oleh Allah mengambil pemberian itu dengan halal. Tidak kira pemberian merupakan sedekah, hadiah, zakat, sumbangan dan seumpamanya.

Sekiranya pemberian yang diberi itu berkait dengan perkara agama, supaya kamu meninggalkan agama atau pun meninggalkan mana-mana ajaran agama yang berkait dengan adil dan zalim, yang berkait dengan betul dan salah, yang berkait dengan mengikut ajaran Islam atau meninggalkan ajaran Islam dalam semua perkara yang berkait dengan penghidupan kamu, atau ekiranya perkara yang diberi itu merupakan satu cara untuk menarik kamu supaya meniggalkan petunjuk Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW maka jangan kamu mengambilnya. 

Sekiranya kamu tidak mengambilnya Allah Ta’ala akan memberkati hidup kamu dan kamu tidak menjadi fakir dan tidak menjadi bangsat.

Sekiranya kamu mengambilnya walau banyak mana sekalipun, waluapun berjuta-juta kamu akan menjadi bangsat, fakir dan papa kedana.

Ada orang yang kaya jiwanya dan ada orang bangsat jiwanya. Orang yang kaya jiwanya walaupun wang dan harta tidak ada tetapi dia mempunyai maruah yang sangat tinggi, mempertahankan harga diri dengan ajaran agama.

Adapun orang yang bangsat jiwanya, bangsat ruhnya walaupun hartanya berjuta-juta ringgit dia tidak puas dengan kehidupannya, sentiasa meminta-minta, meminta bantuan dan perolongan, meminta habuan walaupun dia sudah mempunyai berjuta-juta ringgit.

Itulaah bangsat yang dinyatakan oleh nabi SAW menyebab orang itu menjadi hina di dunia dan hina di hari akhirat walaupun dia kaya di dunia tetapi hina di akhirat.

Orang yang fakir, bangsat di dunia tetapi berpegang dengan agama dia mulia di dunia dan kaya di hari akhirat kerana diberi kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Ujian kepada agama Islam.

Seterusnya nabi SAW memberi amaran akan berlaku ujian kepada agama Islam.

Agama Islam akan menghadapi pusingan di dalam keadaan zaman dunia ini. Ada kalanya Islam ini menang, kuat dan berjaya dan umatnya dalam keadaan yang gagah. Kadang-kadang umat Islam ini dalam keadaan lemah lalu ditekan dan ditindas.

Dalam keadaan bagaimana sekali pun kamu hendaklah bersama dengan Islam, sama ada Islam dalam keadaan dimuliakan, dimenangkan, dalam keadaan gagah dan hebat atau pun Islam dalam keadaan hina, ditekan, ditindas yang pernah disebut oleh nabi SAW dalam hadis yang lain akan tiba satu masa Islam akan ditindas sehingga orang yang berpegang dengan agama menjadi sakit laksana berpegang dengan bara api yang digenggam di dalam tangannya. Ia terpaksa menahan kesakitan kerana berpegang dengan agama.”

Akan tiba zaman yang begitu rupa di mana fadilatnya sangat besar disebut oleh nabi SAW: “Sesiapa yang berpegang dengan ajaran aku ketika umat aku dalam keadaan punah ranah dan rusak maka diberi kepadanya kelebihan pahala seratus orang mati syahid.”

Ini menunjukkan bahawa mereka yang berpegang dengan agama dalam keadaan ditekan, ditindas dan susah diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

Kerajaan tidak mengikut ajaran Islam:

Akan tiba zaman yang menguji orang Islam apabila mereka yang memimpin, yang berkuasa, kerajaan yang memerintah tidak mengikut ajaran Islam dan menekan rakyat. Sesiapa sahaja yang mengikut ajaran Islam akan ditekan, ditindas sehingga dibunuh. Sesiapa yang mengikut pemerintah yang zalim, yang sesat akan menjadi sesat bersama dengannya.

Sekiranya kita menghadapi ujian yang begitu rupa maka iman orang Islam akan diuji dan dicuba.

Lalu sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah sekiranya kami berdepan dengan keadaan yang menguji begitu rupa bagaimana sikap dan pendirian kami?”

Jawab nabi SAW: “Jadilah kamu seperti sahabat-sahabat nabi Isa AS yang disole dengan kayu, yang dibelah tubuh mereka dengan gergaji tetapi mereka tidak berganjak dengan agama Allah.”

Kumpulan ini disebut oleh Allah di dalam Quran: “Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu seperti sahabat-sahabat nabi Isa AS iaitulah golongan yang dikenali dengan Hawariyyin, sahabat-sahabat yang setia dengan nabi Isa AS yang diriwayatkan jumlahnya hanya dua belas orang sahaja.”

Ketika nabi Isa AS dikepung oleh tentera raja Hiradus yang telah membunuh nabi Zakaria dan nabi Yahya ASTS. Nabi Yahya disembelih dan nabi Zakaria dibelah dengan gergaji. Kemudian mereka mencari nabi Isa AS untuk ditangkap dan dibunuh lalu nabi Isa menyembunyikan dirinya.
  
Kaum Hawariyun

Ketika nabi Isa dikepung oleh bala tentera Hiradus dan di saat nabi Isa hendak diangkat ke langit nabi Isa bertanya kepada sahabat-sahabatnya: “Siapa di kalangan kamu yang sanggup menjadi penolong aku di dalam menegakkan agama Allah.”

Lalu kaum Hawariyyin mengatakan: “Kamilah orang yang menjadi penolong-penolong kepada agama Allah untuk mempertahankan agamanya.”

Sebahagian daripada Bani Israil beriman dan sebahagian lagi tidak beriman. Mereka yang beriman tidak ramai. Kebanyakan mereka tidak beriman. Akhirnya Allah Ta’ala memberi pertolongan kepada orang-orang yang beriman.

Golongan Hawariyyin yang seramai dua belas orang ini, ada kalangan mereka dibakar hangus, ada yang disolib dan ada yang dibelah tubuh dengan gergaji. Namun begitu mereka tidak berganjak daripada agama Allah SWT.

Allah Ta’ala menjadikan mereka yang mati itu adalah mati syahid mendapat mertabat yang tinggi di sisi Allah SWT.

 Azimah atau ruksah

Walaupun al-Quran membenar seseorang itu berucap dengan kalimah kufur bila dipaksa sebagaimana yang berlaku kepada Ammar bin Yasir RA. Apabila Ammar bin Yasir bersama dengan ayahnya Yasir dan ibunya Sumaiyah ditahan di Makkatul Mukarramah setelahnya ayahnya dibunuh dan ibunya dibunuh Ammar lalu berucap dengan kalimah kufur dan ia dibebaskan.

Kemudian Ammar mengadap nabi SAW dan nabi bertanya sama ada imannya masih ada dalam hati.

Ammar menjawab dia masih beriman kepada Allah SWT.

Lalu Allah menurunkan firmannya: “Melainkan sesiapa yang dipaksa dalam keadaan hatinya masih beriman.”

Para ulamak mengatakan bahawa di sana ada dua perkara yang menjadi pilihan apabila seseorang itu dipaksa. Dia memilih azimah atau pun memilih ruksah.

Azimah ialah memilih sanggup dibunuh kerana berpegang dengan agama. Ruksah ialah dia mengikut apa yang dipaksa itu dalam keadaan hatinya berpegang dengan agama. Kedua-duanya diizinkan oleh syarak.

Tetapi azimah adalah lebih afdal kerana azimah memberi peluang kepada seseorang itu untuk mati syahid. Bila dibunuh mati syahid dan diberi peluang kepadanya kelebihan terus masuk syurga dan dapat memberi syafat sekurang-kurangnya tujuh puluh orang kalangan keluarganya yang kena masuk neraka.

Dalam hadis ini nabi SAW menyuruh sahabatnya memilih azimah, memilih mati kerana menegakkan agama Allah sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabt nabi Isa AS.

Nabi Isa diangkat ke langit.

Allah Ta’ala mengangkat nabi Isa ke langit. Disebut dalam hadis yang syahih bahawa Allah Ta’ala akan menurunkan nabi Isa di akhir zaman setelah berlakunya huruhara dan peperangan yang besar yang membunuh ramai manusia.

Kemuncaknya Allah Ta’ala akan menurunkan nabi Isa AS yang akan memerintah dengan syariat Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW.

KULIAH SUBUH YT


No comments:

Post a Comment