Sunday, November 6, 2016

RAHMAT RAMADAN (KULIAH TG NIK AZIZ)



Bila dibaca Quran di rumah, masjid, surau atau bangsal durian akan nampak bersinar di mata malaikat. Ketika itu malaikat turun membawa rahmat.

Nabi kita Muhamad SAW membahagi bulan Ramadan kepada tiga bahagian.

Sepuluh hari pertama membawa turun rahmat, sepuluh hari kedua membawa turun maghfirah (ampun dosa) dan sepuluh hari ketiga membawa turun itkum minannar (bebas daripada api neraka)

Perkataan rahmat; tuhan sebut rahmat, Quran sebut rahmat dan kita orang Melayu pun sebut rahmat juga.

Rahmat bermakna kasihan belas Allah Ta’ala kepada hamba-hambanya. Apa sahaja yang tuhan nampak dia kasihan kepada kita itulah yang diberi dengan syarat kita memerlukannya. 

Contoh rahmat Allah: Jika kita jenis hati keras tuhan perlembut hati kita. Kita jenis miskin tuhan memberi kita senang makan. Anak kita jenis keras dan tidak dengar kata tuhan perlembut hati anak. Jika ada jiran suka menyusahkan kita tuhan perlembut hati jiran. Jika melihat kita jenis pemalas tuhan menjadikan diri kita rajin. 


Jika kita tidak memerlukannya maka tuhan tidak akan beri. Misalnya tempayan diletak pada tempat jatuh air daripada saluran. Jika mulut tempayan ditudung maka hujan lama mana sekali pun air tidak masuk dalam tempayan. Jika letak tidak menepati dengan turunnya air daripada saluran air tidak akan masuk dalam tempayan sepenuhnya.

Rahmat tuhan begitu juga. Rahmat tuhan akan diberi kepada mereka yang memerlukannya sahaja. Ini sebabnya guru yang mengajar menyebut rahmat Ramadan dan rahmat itu dan rahmat ini. Guru hanya boleh menyebut sahaja, guru tidak boleh buka hati perut orang. Kita sendirilah yang membukanya. Bagaimana membukanya, iaitu terasa hendak kepada rahmat.

Bila mendengar turun rahmat, kalau berasa hendak pandailah terbuka hati kita. Kalau masuk Ramadan tidak berasa apa dan habis Ramadan pun tidak berasa apa, sahlah orang ini tidak mendapat apa pun. Tiga puluh hari Ramadan tidak mendapat apa pun kerana tidak terbuka pintu hatinya.

Kenapa pintu hatinya tidak terbuka?

Kerana banyak perkaralah; sebab dosa, hatinya berkarat kerana kerja-kerja yang dibuat. Bercakap apa sahaja tanpa mengira dosa dan pahala. Tengak apa sahaja. Tidak mengambil kira daripada sumber mana wang diperolehi. Semua perkara itu menyebabkan hati berkarat.

Nabi kata hati berkarat sebagaimana besi berkarat. Dengan syurga tidak berasa terliur. Dengar neraka tidak berasa gerun pun.


Bagaiman hendak menggilat hati supaya tidak berkarat. Banyakkan berzikir, ingat kepada Allah. Baca Quran, salawat kepada nabi, berdoa, istighfar dan apa sahaja yang menampakkan kita ini ingat kepada Allah, insya-Allah karatan hati akan hilang.
Ingat ke tuhan daripada hati dan sebut dengan lidah. Apa yang penting ialah ingat ke tuhan. 

Apa zikir yang kita hendak sebut semuanya boleh asalkan sesuai dengan tempatnya. Masa-Allah ada tempatnya, Subhanallah ada tempatnya, Alhamdulillah ada tempatnya.
Kita hendak masuk bilik air tidak kena kalau dibaca Alhamduillah. Keluar bilik air baharulah sebut Alhamdulillah dan seterusnya.

Jadi dalam bulan Ramadan seboleh-bolehnya didik diri kita supaya berkehendak kepada rahmat Allah Ta’ala. Allah Ta’ala amat pemurah dan amat mengasihani bila kita minta dia akan beri. 

Di bulan Ramadan kita patut bertarawikh, patut bertadarus Quran, patut bersedekah, patut berzikir dan lain-lain ibadat.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment