Sunday, November 6, 2016

THALUT DAN JALUT



Disebut dalam kitab-kitab orang Yahudi supaya mereka tahu bahawa Muhamad SAW adalah Rasulullah supaya mereka menyedari bahawa perjuangan nabi Muhamad SAW dan umatnya sehingga hari kiamat adalah menyambung perjuangan nabi-nabi dan rasul-rasul termasuk nabi-nabi Bani Israil yang menganut agama Islam. 

Tidak ada nabi yang menganut agama Yahudi, tidak ada nabi yang menganut agama Kristian. Semua nabi menganut agama Islam. Semua nabi berjuang, berjihad pada jalan Allah Ta’ala.

Disebut kisahnya, “Kemudian apabila Thalut (raja Islam) keluar bersama-sama tenteranya, Thalut telah melakukan kerahan tenaga dan berjaya mengumpul bala tentera seramai lapan puluh ribu orang. 

Bakinya adalah orang tua, kanak-kanak dan orang yang uzur sahaja untuk menentang Jalut (raja kafir) yang memiliki tentara lebih ramai, seratus ribu orang”

Apabila Thalut keluar bersama tenteranya, “Berkatalah Thalut, sesungguhnya Allah Ta’ala akan menguji kamu dengan sebatang sungai iaitulah sungai Ordon, yang ada sehingga hari ini”.

Setengah riwayat mengatakan sungai ini adalah perkenan Allah dengan doa Thalut. Oleh kerana mereka berada di padang pasir dan dahaga, Thalut berdoa kepada Allah Ta’ala supaya dianugerah sebatang sungai. 

Thalut berkata walaupun kita berjumpa dengan sungai, sungai ini menjadi ujian. 

Allah Ta’ala menguji kamu dengan sebatang sungai, “Maka sesiapa yang minum daripadanya maka dia bukan daripada pengikutku, dan sesiapa yang tidak meminumnya maka ia adalah pengikutku kecuali sesiapa yang menyebak satu cebak dengan tangannya sahaja yang diizin oleh Allah Ta’ala”

Bila berjumpa dengan sungai, Allah Ta’ala menguji kita dengan sungai. Tidak dibenarkan meminum air. Kalau hendak minum juga secebak sahaja. Barang siap yang meminum lebih daripada secebak bukan pengikut aku. Mereka yang tidak minum dan yang minum secebak adalah pengikut aku.
“Lalu merek minum air sungai itu melainkan sedikit sahaja”

Mengikut riwayat Albaraq bin Aziz dan Ibni Abas daripada lapan puluh ribu hanya empat ribu orang sahaja yang tidak minum. Tujuh puluh enam ribu minum dengan sebanyak-banyaknya. 

Mengikut riwayat Ibni Abas mereka minum mengikut iman masing-masing. Mereka yang kuat imannya tidak minum sekali-kali, yang iman kurang sedikit minum secebak dan yang lemah iman minum sebanyak-banyaknya iaitu lebih daripad sukatan yang diizinkan oleh Allah Ta’ala.

Mengikut riwayat Albaraq bin Aziz RA yang tidak minum sama banyak dengan ahli Badar iaitu sebanyak tiga ratus tiga belas orang. Riwayat yang lebih ramai mengatakan yang tidak minum hanya empa ribu orang sahaja. Lain-lain minum sebanyak-banyaknya.
Maka tatkala Thalut dan bala tentera yang bersama dengannya menyeberangi sungai berkatalah orang-orang yang minum dengan banyak, “kita tidak mempu hendak melawan Jalut dan bala tenteranya”.

Mereka yang minum banyak menjadi lemah, menjadi tidak semangat untuk berjuang. Sepatutnya minum banyak menjadi gagah. Tetapi tuhan jadikan mereka yang minum banyak menjadi lemah dan penakut.

“Berkatalah orang-orang yang yakin bahawa mereka bertemu dengan Allah”.
Bertemu dengan Allah kerana mati syahid terus masuk syurga ataupun diberi kemenangan oleh Allah Ta’ala dengan mendapat keredaan Allah. Yakin kepada Allah Ta’ala, mereka tidak akan dipersia-siakan mereka. 

“Beberapa banyak berlaku peristiwa dan pernah berlaku golongan yang kecil, yang sedikit, yang lemah boleh mengalahkan golongan yang lebih besar”.

Sabda nabi SAW, “Kamu tidaklah ditolong, tidak akan diberi rezeki oleh Allah melainkan dengan sebab orang-orang yang dhaif di kalangan kamu”.

Oleh yang demikian kita jangan memperkecilkan orang-orang yang dhaif, orang-orang yang lemah, orang-orang yang uzur. 

Sering kali berlaku kadang-kadang Allah Ta’ala memberi pertolongan dengan doa orang-orang yang lemah. Dia tidak mampu, dia lemah, dia doa dan doanya membantu orang-orang yang berjuang. Kadang-kadang Allah Ta’ala memberi rezeki dengan sebab orang yang lemah yang ada.

Orang kaya yang kita ikut kadang-kadang mengerjakan maksiat. Tetapi oleh kerana ada orang miskin, lemah dan bersabar Allah Ta’ala menangguh bala-Nya. Allah Ta’ala memberi rezeki kepada orang kaya supaya orang kaya mengeluarkan zakat, supaya orang kaya memberi sedekah kepada orang yang lemah. 

Rezeki diberi dengan sebab orang yang lemah. Pertolongan diberi dengan sebab orang yang lemah dengan izin Allah Ta’ala.

“Dan Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar”. 

Oleh kerana itu Allah Ta’ala berfirman kepada orang-orang yang beriman di kalangan umat Muhamad SAW maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman bersabarlah kamu dalam menghadapi kesusahan, menghadapi kesakitan, menghadapi ujian dalam kehidupan dan bersabarlah kamu di medan perjuangan untuk menghadapi musuh dan duduklah kamu di mana kamu ditugaskan”, 

Bermakna jika ditugaskan duduk di markas, di markas; tugas duduk di sempadan, sempadan; barisan hadapan, hadapan; perbekalan, perbekalan. Ini makna ‘rabitu’, ribat. “Bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan”

Allah berfirman dalam ayat yang lain, “Berapa ramai nabi-nabi di zaman dahulu yang berjuang pada jalan Allah dan berjuang bersama-sama ribbiyun (orang-orang yang rapat dengan tuhan) dan mereka tidak merasa hina apa yang menimpa mereka dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah, mereka tidak merasa lemah dan mereka tidak lemah semangat dan Allah bersama-sama dengan orang yang sabar”.

Inilah golongan yang kecil bersama dengan Thalut yang berperang.

“Dan apabila orang-orang beriman itu keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa dengan berkata, “Wahai tuhan kami lemparkanlah khabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap orang kafir.”

Mereka berdoa kepada Allah Ta’ala meminta pertolongan kepada Allah Ta’ala dalam perjuangan. Antara masa diperkenankan doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh ulamak tafsir, antaranya Khultubi, ialah pada masa tentera Islam berdepan dengan musuh.

Jalut yang kafir ini bersaiz besar, gagah perkasa, memakai baju besi yang tebal yang berat yang tidak boleh ditanggung oleh orang biasa. Sudahlah besar dan gagah memakai baju besi yang tebal pula dan memakai topi besi tebal mencabar lawan sama seorang. 

Menjadi adat peperangan zaman dahulu, sebelum bertempur peperangaan yang besar, lawan seorang sama seorang terlebih dahulu.

Tiba-tiba Jalut sendiri yang ajak lawan. Siapa yang berani melawannya. 

Lalu Thalut berkata siapa yang sanggup berlawan Jalut ini. Siapa yang sanggup lawan aku kahwinkan dengan anak aku dan aku memberinya jawatan yang besar menjadi raja mengganti tempat aku. 

Maka tempir Daud AS menyahut cabaran itu.

Mengikut ulamak tafsir Allah Ta’ala telah menunjukkan kenabian kepada Daud AS sebelum dilantik menjadi rasul lagi. 

Masa dia berjalan hendak menyertai tentera Thalut terdengar suara batu di tengah jalan. Batu berkata, “Ambil aku, ambil buat senjata”. Daud pun ambil. Bila berjalan pula batu berkata, “Ambil aku”. Daud pun mengutip batu itu. Daud memungut batu-batu yang diminta supaya mengambilnya.

Nabi Daud ini seorang yang kecil. Lalu Thalut kata, “Kamu hendak melawan macam mana, kamu kecil tidak mampu melawan. Macam mana kekuatan kamu”

Kata nabi Daud, “Bila saya pelihara kambing bersama adik beradik saya, jika serigala tangkap kambing saya, saya memukulnya sampai mati, saya pegang kepala dan saya cabut kepalanya.

“Serigala kecil sahaja”, kata Thalut.

Daud berkata, “Bila singa datang menangkap kambing, saya pegang mulutnya dan saya koyak dua mulutnya”.

Kata Thalut kalau begitu sila kamu lawan. Lalu Thalut menyerah senjata kepada Daud, pedang, baju rantai dan segala kelengkapan perang supaya melawan Jalut. 

Diriwayatkan ada satu pedang di Istanbul, Turkey yang disimpan dalam muzium Istanbul dan dikatakan pedang itu warisan nabi Daud AS. Pedang lebarnya sejengkala dan panjangnya lebih tinggi daripada orang.

Setelah menerima pedang dan lain-lain kelengkapan Daud menaiki kuda dan berlawan atas kuda. Tiba-tiba Daud datang perasaan tidak yakin dengan senjata yang dibekalkan kepadanya. Dia turun dan membuang semua senjata yang diberikan. Daud memakai senjata anak batu yang dipungut dalam perjalanan.

Maka berdepanlah nabi Daud dengan Jalut yang kafir itu.

“Oleh sebab itu mereka telah dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah Ta’ala dan nabi Daud yang turut serta dalam tentera Thalut membunuh Jalut”

Jalut memperkecilkan kebolehan Daud AS. “Kamu kecil sangat hendak lawan aku, tidak padan melawan aku”

Lalu nabi Daud melontar Jalut dengan batu terkena topi besinya, tembus topi besi dan tersungkur ke bumi. Cukup dengan satu lontaran sahaja. Padan dengan pusingan yang pertama terus mati.

Maka bersemangatlah bala tentera Thalut bersama-sama dengan orang beriman kepadanya.

“Dan Allah mengurniakan kepada Daud AS “al-Mulk” (kerajaan)”

Diberi kerajaan, bermakna nabi Daud sudah berpolitik, sudah menjadi ahli politik. Orang zaman sekarang mengatakan politik kotor. Mereka ini sebenarnya terpengaruh dengan ajaran Kristian.

Quran mengatakan Allah Ta’ala memberi kepada Daud kerajaan.

“Dan kenabian, dan Allah Ta’ala mengajar kepadanya apa yang ia kehendaki”.

Antaranya nabi Daud diberi mukjizat boleh melembutkan besi. Besi yang keras itu nabi Daud memicit dengan tangan sahaja untuk membuat senjata. 

Ayat ini memberi pengajaran kepada orang-orang yang beriman di zaman nabi Muhamad SAW dan kepada umat Islam sehingga hari ini bahawa orang Islam jangan takut berdepan dengan musuh-musuh Islam walaupun musuh-musuh Islam itu kuasa-kuasa besar dunia, yang mempunyai senjata yang lebih canggih.

Allah Ta’ala menyuruh orang-orang yang beriman menyediakan persenjataan mengikut kemampuan mereka.

Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan bersedialah kamu dengan kekuatan mengikut kemampuan kamu”

Allah Ta’ala menyuruh orang beriman menyediakan kekuatan mengikut kemampuan mereka. Ada wang hulurkan wang untuk perjuangan Islam. Kemampuan tenaga, keluarkan tenaga. Jangan susut. Jika susut Allah Ta’ala tahu.

Jika orang itu mempu memberi sumbangan sepuluh ribu, tetapi dia menyumbang seribu sahaja. Maka tidak menang lagi perjuangan Islam kerana ada orang yang bersembunyi, tidak boleh bersembunyi. Mestilah mengikut kemampuan masing-masing. Di kalangan orang Islam itu ada orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala.

KULIAH TAFSRI YT

No comments:

Post a Comment