Monday, November 7, 2016

RUKUN PUASA




Bagi puasa ada dua rukun yang sangat penting.

1. Menahankan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada naik fajar hingga jatuh matahari. 

Kita ikhtiyak iaitu ambil basi lima atau sepuluh minit sebelum naik fajar. Ini dikenali dengan imsak. Bila naik fajar tidak boleh bersahur lagi. Dalam mazhab Syafie kena imsak.

Waktu puasa sebenar ialah bermula dari naik fajar hingga jatuh matahari. Ini disebut dalam Quran.

Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Maka sekarang Allah Ta’ala membenarkan kamu bersetubuh dengan isteri kamu dan tuntutlah apa yang Allah wajibkan kepada kamu, makan dan minumlah kamu sehingga ternyata di antara benang putih dengan benang hitam daripada waktu fajar. Kemudian sempurna puasa itu sehingga malam hari”.
Ayat Quran menyebut benang putih dan benang hitam.

Bila turun ayat ini Adi bin Hatim mengambil benang putih dan hitam menentukan masuk waktu puasa dan berbuka. Adi ialah seorang sahabat, anak kepada Hatim at-Taii. Hatim at-Taii seorang pemurah di zaman jahiliah sehingga dia menyembelih kuda kesayangan untuk menjamu tetamu

Setelah makan kenyang-kenyang tetamu kata tujuan saya datang ini untuk membeli kuda yang elok. Hatim berkata saya sudah sembelih kuda itu. Dia suka menolong orang.
Dalam satu peperangan nabi menyerang kabilahnya dan menawan anak-anak Hatim at-Taii kecuali Adi bin Hatim kerana dapat melarikan diri. Nabi kenal mereka ini anak Hatim at-Taii. Oleh kerana memuliakan akhlak ayahnya nabi bebaskan anak beranak Hatim at-Taii.
Adiknya memujuk Adi supaya datang menghadapi nabi SAW. Dia datang mengadap nabi lalu masuk Islam.

Adi bin Hatim berkata bila turunnya ayat aku mengambil benang putih dan benang hitam. Bila dapat membezakan putih dengan hitam baharulah tidak boleh makan sahur. Bila hendak membuka puasa bila tidak dapat membezakan benang putih dan benang hitam baharulah aku buka puasa. Aku berasa susah dan aku bertanya nabi SAW. 

Lalu nabi bersabda maksudnya, “Bukan benang putih dan benang hitam, makna sempadan antara kegelapan malam dan cahaya waktu siang”

Bila jatuh matahari masuklah waktu malam dan bila naik fajar masuk waktu siang. Itu caranya bukan kena ambil benang putih dan benang hitam.

Quran adalah kalam Allah yang terlalu tinggi. Digunakan benang putih dan benang hitam sebagai perbandingan.

Jadi rukun puasa yang pertama mesti menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada naik fajar hingga jatuh matahari.

2. Niat. Mesti ada niat. 

Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas baginya sahaja”

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Sesungguhnya segala amal itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang mengikut apa yang diniat”.

Niat ada dua perkara yang khusus:

1. Kosad iaitu menyehajakan membuat sesuatu ibadat. Bukan puasa kerana ikut orang, orang tidak makan dia pun tidak makan juga sedang dia tidak ada niat berpuasa. Atau pun orang gila. Orang gila tidak ada niat. 

Mengikut mazhab Syafie tiap-tiap malam mesti ada niat. Ada mazhab lain mengatakan niat sekali gus sebulan. Ulamak mengatakan bila dia bangun makan sahur dan memang dia hendak berpuasa esok maka sudah adalah niatnya. Orang bangun makan sahur memang tujuan hendak berpuasa, maka sahlah niatnya. 

Jadi ulamak-ulamak mazhab Syafie menggalakkan kita niat berpuasa sekali gus, takut tertinggal niat dicelah-celah itu. Jadi boleh dikumpulkan niat itu dengan bertaklif kepada mazhab lain dan tidak menjadi salah. Namun begitu seboleh-bolehnya tiap-tiap malam perlu ada niat.

2. Ikhlas kerana Allah Ta’ala. Bukan kerana yang lain. 

Bukan kerana aku tidak berpuasa orang tidak akan ajak berbuka. Atau kerana orang ramai berpuasa maka dia berpuasa. Puasa bukan kerana Allah Ta’ala tidak mendapat pahala. Puasa mestilah kerana Allah Ta’ala, bukan kerana yang lain.

Bagi mazhab Syafie, niat mestilah waktu malam. Ada pun puasa sunat kita boleh niat waktu siang hari. 

Puasa itu wajib bagi tiap-tiap orang Islam yang berakal dan baligh, mukim atau tidak bermusafir dan bersih daripada haid dan nifas bagi orang perempuan. Jika ada haid dan nifas maka puasa tidak sah. Puasa tidak sah bagi orang kafir. Dia perlu masuk Islam dahulu.

Kanak-kanak digalakkan berpuasa. Apabila umur tujuh tahun kena melatih dia berpuasa sebagaimana sahabat nabi melatih anak-anak mereka berpuasa.

Disebut dalam hadis, “Dan daripada ar-Rubaiyik binti Muawwab RA katanya Rasulullah menghantar kami di satu pagi sepuluh hari yang akhir di kampung Ansar dan kami berpagi-pagi dalam keadaan berpuasa lalu kami menyempurnakan puasa. Nabi bersabda barang siapa yang berpuasa, sempurnakan puasa baki harinya, kami berpuasa dan kami mempuasakan anak-anak kami dan kami pergi ke masjid kami membuat permainan untuk mereka daripada kapas dan apabila anak-anak kami menangis kami memberi mainan itu”, hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ini menunjukkan sahabat nabi melatih anak-anak mereka berpuasa.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment