Sunday, November 6, 2016

SEMBAHYANG TARAWIKH



Menghidupkan Ramadan dengan sembahyang tarawikh.

Hadis pertama:
 
“Dari Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan beriman dengan kelebihannya dan ikhlas bagi Allah Ta’ala diampun baginya apa yang terdahulu daripada dosanya”, hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menyatakan barang siapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan kerja-kerja ibadat yang sunat bukan sahaja puasa dengan dia percaya kelebihan bulan Ramadan dan kelebihan ibadat itu di antaranya sembahyang tarawikh dan dia mengerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah Ta’ala maka diberi kepadanya kelebihan diampunkan dosa yang terdahulu. Dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar berhajat kepada bertaubat secara khusus.

Hadis kedua:

“Dari Abi Hurairah RA adalah Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya menghidupkan Ramadan dengan menyuruh mereka secara memberatkan lalu dia bersabda barang siapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan beriman kepadanya dan ikhlas diampunkan baginya apa yang terdahulu daripada dosanya”. Hadis riwayat Muslim.
Hadis ini serupa dengan hadis di atas cuma ditambah dengan Rasulullah tidak memerintah dengan berat. Hendak buat boleh tidak hendak buat boleh. Tidak disuruh keras-keras sangat.

Ulamak menafsirkan perkara ini dengan sembahyang tarawikh. Rasulullah SAW telah bersembahyang tarawikh sebanyak lapan rakaat lalu diikuti oleh sahabat-sahabatnya. 

Pada malam kedua dia bersembahyang lebih ramai daripada malam pertama. Malam ketiga dia keluar sembahyang pula lapan rakaat seperti dulu maka masjid penuh hingga tidak muat tempat. 

Malam besok Rasulullah tidak keluar. Para sahabat menunggu-nunggu tetapi Rasulullah tidak keluar-keluar sehingga Subuh.

Malam berikutnya Rasulullah keluar dan bersabda, “Sebab aku tidak keluar semalam kerana aku takut sembahyang ini menjadi wajib kepada kamu dan dia tidak wajib. Kalau jadi wajib memberatkan kamu”.

Ummul mukminin Aisyah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW sembahyang malam tidak lebih daripada sebelas rakaat termasuk bulan Ramadan. Menunjukkan baginda sembahyang tarawikh lapan rakaat dan diikuti dengan witir tiga rakaat. Itu amalan nabi SAW.

Mengapa sembahyang ini dinamakan sembahyang tarawikh?

Kerana sembahyang ini ada tawihah yang dicelah dengan rehat. Sembahyang empat rakaat berhenti, sambung balik empat rakaat berhenti pula. Masa berhenti baca Quran, atau tazkirah atau berdoa atau ceramah dan sebagainya. Lepas itu sambung balik sembahyang. 

Di zaman Abu Bakar begitulah keadaan sehingga zaman Saidina Omar RA. Bila Saidina Omar melihat orang sembahyang bersendirian, lalu ia memerintah sembahyang secara berjemaah diimamkan oleh Ubai bin Kaab RA. 

Ubai bin Kaab ialah seorang sahabat yang alim dan alimnya diakui oleh Allah Ta’ala sehingga Allah Ta’ala menyuruh malaikat Jibril memerintah kepada nabi SAW membaca surah Baiyinah di hadapan Ubai bin Kaab. 

Ubai menjadi iman disuruh oleh Saidina Omar dan mereka bersembahyang dengan dua puluh rakaat. Ini dibuat di zaman Saidina Omar al-Khattab RA. 

Bermakna sembahyang tarawikh boleh dibuat lapan rakaat, witir tiga rakaat yang dibuat oleh nabi SAW. Cara dua puluh rakaat diikuti dengan witir tiga rakaat yang dibuat oleh Saidina Omar di zamannya. Ini berterusan sehingga hari ini diamal oleh orang Islam.

Ada juga mereka yang membuat lapan rakaat. Kedua-dua cara boleh dibuat belaka. Ada ulamak mengatakan hendak membuat lebih daripada dua puluh rakaat tidak mengapa. 

Ada ulamak mangatakan hendak membuat sampai empat puluh rakaat tidak mengapa. Tetapi yang asyafnya setakat dua puluh sahaja sebagaiman yang dibuat Saidina Omar ibni al-Khattab di zamannya.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment