“Katakanlah wahai Muhamad SAW, taatlah kamu kepada Allah dan
Rasulmu, oleh itu jika kamu berpaling menderhaka maka sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang kufur”, maksud al-Quran.
Taat kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlak iaitu taat yang
tidak berbelah bagi (100%). Taat kepada yang lain-lain ialah taat yang berbelah
bagi atau taat yang bersyarat.
Allah itu maha suci daripada sifat kekurangan, Allah itu Maha
Adil. Semua hukum Allah adalah baik, sama ada lembut atau keras adalah baik dan
adalah adil. Jadi wajib kita taat kepada Allah dan taat kepada Allah adalah
mutlak.
Begitu juga ketaatan kepada Rasulullah SAW adalah mutlak. Rasullah
SAW bersifat maksum iaitu dipelihara oleh Allah. Rasulullah SAW dipelihara
daripada dosa, dikawal oleh Allah Ta’ala daripada melakukan dosa. Rasulullah
dikawal dengan wahi yang diturunkan atau jika wahi tidak diturunkan Allah
Ta’ala mengawal nabi daripada membuat dosa. Dengan demikian taat kepada nabi
adalah juga mutlak.
Ketaatan selain daripada Allah dan rasul adalah bersyarat. Taat
kepada pemimpin, ibu-bapa, ketua dan lain-lain adalah tidak mutlak. Taat kepada
yang lain-lain adalah selagi tidak mereka menyeleweng daripada ajaran Allah
SWT.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman
taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan ulil amri (ulamak-ulamak
dan pemimpin-pemimpin) di kalangan kamu, maka jika sekiranya kamu bertelingkah
di dalam sesuatu perkara maka kembali kepada Allah dan rasul, jika sekiranya
kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat itulah penyelesaian yang
sebaik-baiknya”.
Menunjukkan bahawa taat kepada ulil amri adalah tidak mutlak iaitu
selagi ulil amri itu taat kepada Allah dan rasul. Apabila ulil amri tidak taat
kepada Allah dan rasul maka haram kita taat kepadanya.
Sekiranya ulil amri melakukan perkara yag kufur dan jika redha
kepada kekufuran maka menjadi kufur.
Kalau redha kepada kezaliman maka jadi zalim dan akan masuk neraka bersama-sama
dengan mereka yang kufur dan zalim itu.
Oleh kerana itu ketaatan kepada Allah dan rasul adalah mutlak dan
ketaatan kepada yang lain adalah tidak mutlak.
Ibu-bapa dan suami juga tidak boleh ditaat secara mutlak.
Sekiranya mereka tidak menyuruh dalam perkara yang mungkar maka wajib ditaati.
Kiranya mereka menyuruh kepada maksiat, mungkar atau kekufuran maka haram
ditaati.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Jika sekiranya kamu berpaling,
kamu tidak mentaati Allah dan rasul maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang kufur”.
Ini dalam perkara ketaatan berkait dengan iman dan akidah. Adapun
seorang mukmin yang derhaka dalam keadaan imannya masih ada maka dia adalah
beriman di sisi ahli Sunnah Waljamaah. Kecuali golongan Khawarij yang
mengatakan bahawa mukmin yang derhaka adalah kafir. Pendapat Khawarij ditolak
kerana orang yang derhaka seperti meninggalkan sembahyang, meninggalkan puasa,
berzina, minum arak, makan riba, selagi dia berkata itu adalah haram, cuma dia
buat sahaja dan imannya masih ada maka dia tidak kafir.
Sekiranya dia mengatakan yang haram itu halal, yang haram itu
tidak mengapa maka baharulah menjadi kafir.
Di sini dimaksudkan ialah mereka berpaling daripada Allah dan rasul
dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment