Tuesday, November 8, 2016

TAMBAH ENAM



Firman Allah Ta’ala surah al-Baqarah ayat 184:

“Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah satu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripda memberi fidyah kalau kamu mengetahui).”

Mengenai puasa ada orang yang kuat boleh melakukan perintah Allah Ta’ala dengan sempurna dari sudut fekahnya, syaraknya dan Allah Ta’ala mendatangkan hukumnya kepada mereka yang mampu dan kepada mereka yang tidak mampu.

Disebut dalam ayat itu sesiapa yang tidak mampu berpuasa maka dia kena bayar kerana dia dikira berhutang dengan Allah Ta’ala. Dia kena bayar dengan mengkodar puasanya atau jika tidak mampu berpuasa maka dia kena bayar fidyah.

Fidyah ialah memberi makan (makanan yang mengenyangkan) kepada orang miskin tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkan. Bila memberi fidyah elok memberi lebih.
  
BAGAIMANA KEDUDUKAN PUASA ENAM:

Puasa Ramadan al-Mubarak yang kita jalani In Sya Allah menatijahkan takwa kepada Allah dan tanda kita bersyukur kepada Allah Ta’ala kita disunatkan berpuasa lagi di bulan Syawal berdasarkan hadis nabi SAW.

Berhubung dengan ibadat puasa sunat ulamak menyatakan puasa ini ada tiga jenis:

1. Puasa tahunan
2. Puasa bulanan
3. Puasa mingguan

Adapun puasa sunat seperti sunat hari Arafah, sunat hari Asyura, dan puasa-puasa ini berlangsung setahun sekali

Puasa enam ada juga disebut dengan puasa bulanan. Ini disebut seperti hari-hari putih yang kita sebut puasa hari ke-13, ke-14 dan ke-15.

Ada juga disebut puasa mingguan. Setiap minggu itu ada sekali atau dua kali puasa seperti puasa hari Isin dan Kamis.

Berhubung dengan puasa Syawal ini ia termasuk dalam puasa tahunan. Nabi SAW sebagaimana nas yang masyhur dengan riwayat yang banyak seperti riwayat Abi Hurairah dan lain-lain menyuruh kita berpuasa enam hari daripada bulan Syawal.

Puasa Syawal ini hukumnya sunat mengikut hadis-hadis yang sahih. Rasulullah SAW mengatakan dibina Islam itu atas lima perkara disebut puasa Ramadan wajib maka puasa lain sunat.

Bilakah puasa Syawal ini patut dilaksanakan?

Ada pendapatan mengatakan puasa Syawal dipuasa sebaik-baik selepas raya. Pendapat ini diberi oleh Ulamak Syafie dan sebahagian daripada mazhab Hanafi.

Pendapat kedua mengatakan puasa Syawal tidak dilakukan berturut-turut. Pendapat ini diriwayatkan oleh iman Ahmad bin Hambal.

Pendapat ketiga mengatakan tidak digalakkan berpuasa pada awal Syawal tetapi hendaklah berpuasa pada tiga hari putih (13, 14 dan 15 atau 14, 15 dan 16) dan tiga hari selepas itu atau tiga hari sebelumnya.

Pendapat yang paling masyhur puasa enam hendaklah dilakukan pada awal Syawal kerana paling afdal.

BILA BERTEMBUNG DENGAN PUASA WAJIB DENGAN PUASA SUNAT

Dalam masalah ini ada dua pandangan ulamak:

1. Tidak boleh puasa sunat melainkan disempurnakan yang wajib (wajib qodar) dulu.
2. Boleh puasa sunat dahulu kemudian puasa qodar kerana Aisyah RA dalam riwayat Bukhari mengatakan bahawa Aisyah puasa kodar pada bulan Sya’aban.

Bolehkah kita gabungkan puasa sunat dengan puasa qodar seperti yang biasa dibuat dalam mazhab Syafie?

Dalam hal ini ulamak mengatakan dalam satu kaedah jika jenis ibadat itu sama dan masalah ibadat ini dipecahkan kepada dua sama ada fardu atau sunat.

Ulamak mengatakan jika ibadat fardu, tidak boleh digabungkan dengan dua fardu seperti hendak menggabungkan sembahyang qodar Zohor dengan Asyar. Tetapi mengikut ulamak puasa qodar (fardu) boleh digabungkan dengan puasa sunat.

Puasa qodar dan puasa sunat dibuat pada hari yang sama dengan dua niat iaitu niat puasa qodar dan puasa sunat.

Ibadat sunat boleh digabungkan. Contohnya puasa Syawal dan kebetulan pula hari itu hari Isnin maka boleh digabungkan niat dua puasa sunat. Bahkan ada ulamak mengatakan boleh digabungkan dengan tiga puasa sunat.

Mengikut hadis riwayat Abu Ayub:

“Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari berpuasa bulan Syawal itu bererti ia berpuasa sepanjang hayat.”

Puasa Syawal adalah pelengkap kepada puasa Ramadan. Puasa enam hari bulan Syawal bererti ia puasa sepanjang hayat atau setahun. Puasa enam macam sunat rawatib. Sunat rawatib untuk menampung kekurangan dalam sembahyang fardu.

Jadi puasa enam menampung kekurangan puasa Ramadan. Bila dikerjakan puasa enam menandakan puasa Ramadan diterima Allah Ta’ala.

Hadis riwayat Thawaban:

“Puasa bulan Ramadan diberi pahala sebagai puasa sepuluh bulan dan puasa enam hari diberi pahala sebagai puasa dua bulan, yang demikian itu mencukupi satu tahun.”

Berhubung dengan tawaran Allah SWT gandaan pahala cukup hebat. Mengikut pendapat ulamak ibadat banyak diberi kelebihan. Ada satu dibalas dengan satu, ada satu dibalas dengan sepuluh, ada satu dibalas dengan tujuh ratus, ada satu dibalas lebih daripada tujuh ratus dan ada satu dibalas tidak diketaahui banyaknya.

Satu dibalas dengan satu ialah niat hendak mengerjakan kebaikan tetapi tidak dilaksanakan, satu dibalas dengan sepuluh ialah seperti membaca Quran, dan hadis Thawaban ini menjawab seolah-olah satu dibalas sepuluh, satu dibalas dengan tujuh ratus seperti sedekah bahkan diganda lagi, dan satu dibalas dengan tanpa had iaitu puasa Ramadan.

Berhubung dengan hadis Thawaban ini bila nabi SAW menyebut puasa Ramadan seolah-olah puasa sepuluh bulan atau tiga ratus hari dan puasa enam Syawal seolah-olah puasa dua bulan atau enam enam puluh hari. Jadi jumlahnya dua belas bulan atau tiga ratus enam puluh hari dan cukuplah setahun.

Bila digunakan seolah-olah kata ulamak bermakna balasan bukan sekadar itu sahaja. Banyak hadis dan ayat Quran menyebut seolah-olah. Seolah-olah di sini bukan bermakna setakat itu sahaja. Bahkan kadang-kadang kita disuruh membuat yang lain.

Sebagai contoh bila duduk di Madinah kita pergi ke masjid Quba dalam keadaan wuduk di rumah atau di hotel balasannya sama seperti membuat umrah. Ini disebut dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bila sebut puasa enam bukan bermakna puasa enam sahaja. Ada pakej lain yang ditawarkan seperti puasa hari Arafah, puasa nabi Daud iaitu puasa selang hari, puasa Isnin dan Kamis dan lain-lain. Ini bermakna bukan puasa enam sahaja perlu dibuat tetapi hendaklah dilakukan juga puasa-puasa yang lain yang dilakukan kerana Allah Ta’ala.

RUMAH TERBUKA

Rumah terbuka adalah satu budaya. Ada kebaikannya iaitu ada ziarah dan ada sedekah. Pada hari raya kita memakai baju raya, tetapi yang penting menyambut raya ialah jiwa yang baru. Jiwa baru yang dibentuk oleh Ramadan.

Kita Berjaya melaku sunah yang wajib selama sebulan tidakkan sunah yang sunat selama enam hari tidak mampu dilakukan.

Di rumah terbuka ini kita makan minum, seronok dengan rumah terbuka sehingga terlupa puasa enam. Ini bermakan dia tidak tahu keutamaan.

Patut merebut peluang dengan tawaran puasa Syawal. Sepatut rumah terbuka dibuat selepas enam atau tujuh hari untuk memberi peluang orang berpuasa enam kerana puasa enam di awal Syawal adalah lebih afdal.

Sebagai alternatif rumah terbuka boleh dibuat waktu malam supaya tidak terhalang orang berpuasa Syawal.

HIKMAH DI SEBALIK PUASA ENAM

Mengenai hikmah, ulamak mengatakan kita tidak disuruh menggalinya. Tetapi kita disuruh mencari sebab atau helah. Walaupun begitu ulamak ada mengemukakan hikmah-hikmah berdasarkan kepada ilham dan kajian:

1. Puasa Ramadan dan puasa enam seolah-olah puasa setahun.
2. Sebagai satu rawatib bagi puasa, sebagaimana sembahyang ada rawatib, puasa pun ada rawatib.
3. Untuk menampung kekurangan-kekurangan.
4. Bagi mereka tidak bersedekah maka dia boleh berpuasa sabagai kaffarah.
5. Puasa enam menanda Allah terima puasa Ramadan
6. Sebagai bersyukur kepada Allah Ta’ala
7. Orang yang mengerjakan puasa enam ini samalah dengan orang yang masuk ke medan selepas lari daripada medan perang maknanya anugerah yang besar kepada orang berpuasa enam.

KESIMPULAN:

Allah menyebut demi masa manusia berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Jadi hidup kita ini ada pertukaran masa, ada peristiwa dan ada ibadat.  Ramadan ada masa, ada peristiwa dan ada ibadat.

Bila datang Syawal ada masa, ada peristiwa dan ada ibadat. Jadi orang Islam jangan leka dengan pertukaran masa dan hendaklah ada cita-cita ibadat itu.

Ruh puasa sebenarnya ialah takwa kepada Allah Ta’ala. Selain daripada puasa Ramadan ada puasa enam Syawal dan ditawar pula dengan puasa-puasa lain seperti mingguan, bulanan dan ada pula puasa tahunan supaya ruh takwa itu berpanjangan. Bila bertemu dengan Ramadan sekali lagi kita sudah ada bekalan takwa.

Dalam Islam bila berlaku satu anugerah ibadat orang akan suka beribadat. Islam mengajar kita bila sudah buat ibadat dia tidak selesai begitu sahaja. Dia akan melangsung ibadat-ibadat yang lain. Orang suka berpuasa Allah tawar puasa enam Syawal.

Orang suka tarawikh Allah Ta’ala suruh buat kiam pada malam-malam lain. Orang yang suka bersedekah pada bulan Ramadan disuruh terus bersedekah pada bulan-bulan yang lain. Ini satu perkara yang menggambarkan kesenambungan dalam hidup.

Seorang ulamak ketika membahaskan tentang kelebihan puasa Sya’aban dengan puasa Syawal, mana yang lebih?

Maka ulamak ini jawab jadilah kamu hamba Allah yang rabbani maknanya tidak bemusim selama mana yang ditanggung badan terus beribadat bukan semata-mata tumpu kepada Sya’aban atau mana puasa sunat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment