Wednesday, November 9, 2016

BERPEGANG TEGUH DENGAN AL-QURAN


Maksud hadis riwayat Turmizi dan Darimi:

“Dari Ali RA katanya ingatlah aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda awaslah sesungguhnya akan berlakau kekacauan dan bala bencana yang besar. Aku bertanya apakah caranya untuk menyelamatkan diri daripada bencana itu ya Rasullah.

Baginda SAW menjawab caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran kitab Allah, al-Quran yang mengandungi kisah-kisah umat yang terdahulu daripada kamu dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku antara kamu, al-Quran yang menjadi pemutus antara yang benar dengan yang salah dan bukan keterangan yang olak-olak.

Sesiapa jua daripada golongan yang sombong angkuh meninggalkannya dengan tidak mengikut hukumnya akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mencari petunjuk lain daripada Quran akan disesatkan oleh Allah.

Al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah jua as-syiratal mustaqim, jalan yang betul, dialah kitab dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur-aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk dan alim ulamak pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya.

Demikian juga keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang meskipun dibaca dengan berulang-ulang kali dan kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan.

Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata sesungguhnya kami mendengar bacaan Quran yang menakjubkan yang memimpin ke jalan yang benar lalu kami beriman kepadanya.

Demikian juga sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab al-Quran benarlah perkataannya dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya diberikan pahala dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya adillah keputusannya dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajarannya sudah tentu mereka beroleh hidayah, petunjuk ke jalan yang lurus.”
  
IBADAT PUASA

Adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila Allah SWT menurunkan al-Quranul Karim di bulan Ramadan.

Ketika orang-orang yang beriman menunaikan ibadat puasa yang merupakan ibadat tarbiah atau pun pendidikan dan latihan secara langsung daripada Allah SWT. Untuk mendidik manusia menjadi makhluk yang tersendiri yang berbeza dengan malaikat di langit yang sangat taat kepada Allah SWT. Manusia juga berbeza dengan binatang yang tidak ada akal.

Dengan ibadat puasa kita dilatih oleh Allah SWT menjadi orang yang taat kepada Allah sehingga tidak makan dan minum di waktu siang hari laksana malaikat yang tidak makan dan tidak minum, tidak beristeri dan beranak-pinak serta tidak mempunyai hawa nafsu. Kita dihalang daripada memuaskan hawa nafsu di waktu siang hari seperti malaikat.

Dalam masa yang sama kita tidak boleh mengubah diri kita daripada tabi’ atau fitrah kejadian Allah. Kita adalah makhluk yang berjasad, mempunyai hawa nafsu, berkeluarga dan beranak-pinak, makan dan minum maka Allah SWT mengizinkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan, makan dan minum, menggunakan nikmat yang membezakan kita dengan binatang kerana kita manusia mempunyai akal.

Setelah kita dididik dengan ibadat puasa, tujuan ibadat puasa itu ialah: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang di kalangan pengikut nabi-nabi zaman dahulu, tujuannya supaya kamu bertakwa kepada Allah.”

Bertakwa dengan makna mentaati Allah SWT, mengikut perintah-Nya, meninggal segala larangan-Nya dengan rasa memperhambakan diri, gerun dan takut berhadapan dengan Allah SWT kerana akan dilakukan muhasabah pada hari kiamat kelak.

AL-QURAN

Setelah dididik dengan ibadat puasa maka Allah SWT memilih al-Quranul Karim di dalam bulan Ramadan. Quran adalah kitab Allah yang terkandung di dalamnya petunjuk-petunjuk sama ada hukum-hakam dan peraturan yang berkait dengan akidah, cerita-cerita di zaman dahulu dan perkara-perkara yang akan datang, hari kiamat dan segala perkara yang disebut dalam al-Quranul Karim merupakan petunjuk yang benar.

Kita mesti patuh dan taat kepadanya serta tidak ada pilihan kerana firman Allah SWT: “Tidak harus bagi seseorang lelaki yang beriman dan seseorang perempuan yang beriman apabila Allah SWT dan rasul-Nya membuat keputusan dalam sesuatu perkara lalu dia membuat pilihan yang lain.”

Disebut setiap lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, tidak disebut beriman secara umum tanpa membeza antara lelaki dan perempuan yang menjadi kebiasaan kepada ayat-ayat al-Quranul Karim. Tetapi ayat ini menyebut: “Tidak harus bagi seseorang lelaki yang beriman dan seseorang perempuan yang beriman.”

Tiap-tiap orang daripada mereka apabila keputusan daripada al-Quran iaitu petunjuk daripada Quran dan kenyataan daripada Rasulullah SAW yang menerangkan bagaiman beramal dengan Quran, maka tidak ada pilihan lagi sekiranya iman ada di dalam dirinya.
 
BENCANA KEZALIMAN

Dalam hadis itu Saidina Ali meriwayatkan pesanan nabi SAW bahawa akan berlaku fitnah iaitu bencana yang besar yang akan melanda dunia termasuklah umat Islam.

Bencana itu sama ada bencan maksiat yang merebak dengan luas atau pun bencana kezaliman dan pembunuhan yang berlaku di merata-rata tempat sehingga orang membunuh tidak tahu mengapa dia membunuh dan orang yang dibunuh tidak tahu mengapa dia dibunuh.

Termasuklah fitnah bencana manusia. Manusia leka dengan penghidupan dunia sama ada pangkat, harta benda dan sebagainya sehingga lupa kepada petunjuk Allah SWT.

Antaranya ialah bencana alam: kemarau, banjir, gempa bumi dan sebagainya bahkan disebut kemuncaknya fitnatud dajjal, bencana dajjal apabila berlaku siang yang panjang sehingga makan masa selama setahun. Dunia dalam keadaan kemarau akan berlaku.

Hari ini ahli-ahli sains mengaku akan berlaku bencana-bancana besar ini. Apabila berlaku bencana besar ini bagaimana keadaan kita umat Islam. Nabi SAW berpesan: berpeganglah dengan al-Quranul Karim, kitab petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT.

KESAN SEJARAH PURBA

Kita berpuasa meninggalkan makan minum, meninggalkan hawa nafsu kerana taat kepada Allah SWT. Begitulah taat kita kepada arahan Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quranul Karim dan bagaimana beramal dengan kitab itu yang diajar oleh nabi SAW.

Sama ada ayat-ayat yang berkait dengan kepercayaan kepada Allah, kepercayaan kepada yang ghaib atau kepercayaan kepada yang nyata iaitulah kisah-kisah umat di zaman dahulu yang dibinasakan oleh Allah. Mereka itu seperti Namruk, Firaun, Haaman, Qarun dan mereka yang sepertinya.

Namruk seorang raja yang memerintah, Firaun seorang raja yang memerintah, Haaman seorang pentadbir yang mentadbir urusan pemerintahan negara, Qarun orang kaya yang menggunakan kekayaannya mempengaruhi aapemerintah dan rakyat.

Allah SWT menunjukkan kesan-kesan sejarah yang boleh dilihat di Iraq, di Mesir, di Iran, di Yaman, di India, China, Rome, India dan lain-lain yang dianggap negara-negara yang bertamadun. Kesan-kesan dalam bentuk bangunan yang kukuh dan besar tetapi mereka yang menderhakai Allah dibinasakan oleh Allah SWT di atas dunia. Itu merupakan kisah yang benar.

Allah SWT menceritakan nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS, pengikut nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS dan Allah SWT meninggalkan ajaran nabi-nabi yang berakhir dengan nabi Muhamad SAW dengan tidak meninggalkan kesan-kesan kebendaan termasuk nabi Sulaiman AS yang memerintah dunia, tidak ada kesan istana, tidak ada kesan kota yang didirikan oleh nabi Sulaiman AS yang menggunakan khidmat manusia dan jin, khidmat binatang dan segala makhluk di bawah perintahnya. Semua kesan itu dihapuskan oleh Allah SWT.

QURAN TETAP BETUL

Untuk menguji kepercayaan kita, kisah dalam Quran adalah benar. Hukum-hukum yang ada dalam Quran ialah seperti yang berkait dengan muamalat; dihalalkan jual beli dan diharamkan riba. Allah SWT menunjukkan bagaimana negara-negara yang kaya beramal dengan riba merudum dan runtuh ekonominya. Kemerosotan dan kemusnahan ekonomi dunia berpunca daripada riba.

Ajaran komunis, kuasa besar dunia yang menolak tuhan runtuh. Allah SWT tunjuk di hadapan kita untuk menjadi iktibar.

Hukum qisas, takzir yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk menghapuskan jenayah ditinggalkan oleh manusia menyebabkan jenayah dan kemungkaran merebak dengan meluas.

Manusia yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal membawa kepada berbagai-bagai penyakit yang pernah kita dengar dan yang tidak pernah kita dengar. Ini adalah dalil-dalil yang benar yang mewajibkan kita berpegang dengan al-Quranul Karim.

Nabi SAW menyatakan barang siapa yang sombong, angkuh dan megah meninggalkan Quran akan dibinasakan oleh Allah SWT. Sesiapa yang meninggalkan petunjuknya menjadi sesat kerana al-Quran adalah tali Allah yang kukuh. Hanya mereka yang bergantung dengan Quran sahaja yang akan selamat.

Disebut dalam satu hadis: “Simpulan tali yang mengikat ajaran Islam akan dirombak, manusia merungkai simpulan yang diikat oleh Allah Ta’ala kepada ajaran Islam yang kuat. Apabila satu simpulan dirombak manusia akan bertaburan, huru-hara menyebabkan mereka yang kuat berpegang dengan agama berpegang dengan simpulan yang masih ada.

Simpulan yang pertama dirombak ialah yang berkait dengan hukum-hakam yang berkait dengan pemerintahan dan yang akhir sekali dirombak ialah sembahyang.”

QURAN ADALAH MUKJIZAT ILMU

Ini menunjukkan bahawa tali agama Allah yang diikat dengan kuat ini akan dirungkai oleh manusia. Hanya mereka yang berpegang dengan tali Allah selamat. Quran adalah kitab Allah yang terkandung di dalamnya penuh kebijaksanaan, petunjuk ke jalan yang betul. Hanya Quran sahaja yang betul. Jika bercanggah dengan Quran tetap salah.

Sekiranya sesuatu kajian dibuat dan hasilnya lain daripada Quran menanda kajian itu salah, Quran yang betul. Quran tetap betul. Kajian manusia sama ada perkara yang zahir atau perkara batin sekiranya bercanggah dengan Quran maka Quran yang betul dan kajian itu salah.

Walaupun kita nampak pada zahir kajian itu elok jika berlawanan dengan Quran maka tetap salah. Jangan kita terpengaruh dengannya kerana Quran adalah petunjuk yang benar daripada Allah SWT.

Quran adalah mukjizat ilmu yang diberi kepada nabi SAW. Berbeza dengan mukjizat nabi-nabi zaman dahulu hilang bila nabi-nabi dan rasul-rasul ASTW wafat.

Mukjizat nabi Musa, mukjizat nabi Daud, mukjizat nabi Sulaiman dan mukjizat nabi Isa hilang dalam lipatan sejarah. Adapun mukjizat al-Quran yang diberi kepada nabi SAW berterusan sehingga hari ini. Ada ulamak dalam ilmu agama atau pun ilmu duniawi yang mengkaji al-Quranul Karim tidak akan kenyang dengan ilmu di dalam al-Quranul Karim kerana mereka mendapati kajiannya tidak habis-habis.

QURAN DIPELIHARA OLEH ALLAH

Ini menunjukkan ilmu Allah yang tidak terbatas. Al-Quranul Karim tidak ada penyelewengan dikesan. Adapun kitab-kitab lain boleh diselewengkan. Taurah, Injil, Zabur dan kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi zaman dahulu boleh dipinda, diedit dan selewengkan oleh ulamak-ulamak ahli kitab tetapi Quran dipelihara oleh Allah SWT. Tidak ada siapa yang boleh menyelewengkan al-Quran kerana dijamin oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya Kami yang menurunkan peringatan al-Quran dan Kami yang memeliharanya.”

Sekiranya Quran dan segala kitab-kitab Islam itu dibakar hangus ilmu Islam tidak akan hilang kerana Allah Ta’ala memelihara ilmu Islam bukan sahaja dengan tulisan pada kitab-kitab tetapi di dalam dada-dada dan ingatan para ulamak yang menghafal dan tidak lupa.

Ini adalah mukjizat al-Quranul Karim kecuali bila Allah Ta’ala hendak mengkiamatkan dunia maka segala tulisan pada buku-buku dan kitab-kitab dihapuskan semuanya dan semua ulamak dimatikan. Sebelum tiba masa kiamat Quran dipelihara oleh Allah Ta’ala.
  
ROMBONGAN JIN MASUK ISLAM

Makhluk jin mendengar bacaan Quran yang dibaca oleh nabi SAW. Satu rombongan jin yang musafir ke timur dan ke barat, ke utara dan ke selatan mendapati satu perubahan alam yang menakjubkan, mereka tidak boleh mencuri rahsia-rahsia langit menandakan suatu perkara yang besar sudah berlaku.

Tiba-tiba mereka terserempak dengan nabi SAW yang balik dari Thaif, bersembahyang Subuh membaca al-Quranul Karim, rombongan jin yang mendengar bacaan itu terus mengelilingi nabi dan mendengar bacaan itu sangat menakjubkan sehingga tidak tertahan lalu beriman kepadanya.

Peristiwa ghaib ini disebut oleh al-Quranul Karim bahawa rombongan jin yang mendengar bacaan itu berkata: “Sesungguhnya kami mendengar bacaan yang menakjubkan iaitulah Quran yang dibaca oleh nabi SAW yang menunjukkan ke jalan yang betul lalu kami beriman kepadanya.”

Menunjukkan sesiapa bercakap dengan berdalilkan Quran bersungguh-sungguh maka cakapnya benar. Sesiapa yang beramal dengan Quran diberi pahala sama ada beramal dengan bacaannya apa lagi beramal dengan hukum-hakamnya diberi pahala tiap-tiap satu huruf sepuluh pahala.

Barang siapa yang membaca Quran dalam keadaan gagap-gagap dan berulang-ulang diberi kepadanya pahala membaca dan pahala mendapati kepayahan membacanya kerana tidak fasih  membaca. Barang siapa yang membaca Quran dengan mahir bersama dengan para malaikat yang mulia.
  
Ini menunjukkan tidak sia-sia sesiapa yang beramal dengan Quran, dengan bacaannya, dengaqn hukum-hakamnya dan sesiapa yang berdakwah mengajak orang mengikut al-Quran maka dakwahnya betul. Sesiapa yang berhukum dengan Quran maka hukumannya adil. Jika hukum bercanggah dengan Quran maka hukumannya zalim.

Firman Allah Ta’ala: “Jangan kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (yang jelas tidak menghukum dengan Quran) nanti kamu disentuh oleh api neraka.”

Oleh kerana itu setelah kita meniggalkan ibadat puasa sebulan kita berjaya dalam latihan ibadat ini maka penentuannya ialah sama ada kita menjadi orang yang berpegang dengan Quran atau pun tidak.

KULIAH SUBUH YT

No comments:

Post a Comment