Tuesday, October 18, 2016

TIPU DALAM PERNIAGAAN


Maksud hadis, “Dan daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda sesiapa yang membawa senjata menentang kita untuk membunuh sesama kita maka dia bukan daripada kita dan sesiapa yang menipu bukan daripada kalangan kita”, hadis riwayat Muslim.

Mengikut satu riwayat yang lain dari imam Muslim bahawa Rasulullah SAW melalui di atas selonggak makanan lalu dia memasukkan tangan ke dalamnya tiba-tiba jari-jarinya mendapati makanan-makanan itu basah lalu ia bersabda, “Apa ini wahai orang yang punya makanan ini lalu orang itu menjawab ia ditimpa hujan wahai Rasulullah”.

Sabda Rasulullah SAW, “Mengapa kamu tidak letak yang basah ini di atas supaya orang ramai melihatnya, sesiapa yang menipu bukan daripada kalangan kita”

Hadis ini menyatakan barang siapa yang membawa senjata membunuh orang Islam bukan orang Islam yang sebenar. Islamnya tidak sempurna dan kalau menghalalkan maka jadi murtad.

Begitulah juga orang yang menipu khususnya menipu dalam perniagaan bukan orang Islam yang sebenar. Kalau dia berkata, “Politikkan, tipu tidak mengapa”. Ini menjadi kafir.

Kalau berkata, “Tidak boleh berniaga nabi” makin kafir lagi kerana menghina nabi.
Kalau dia berkata dengan jahil maka dosa besar. Tanggunglah hari kiamat kalau tidak bertaubat.

Mengikut hadis itu nabi SAW telah bertindak sebagai penguat kuasa. Menunjukkan nabi memerintah negara dan semasa pemerintahannya nabi telah memeriksa pasar.

Hal ini telah diikuti oleh orang barat, sebenarnya orang putih mengikut Islam, mengikut nabi SAW yang melantik penguatkuasa perdagangan untuk memeriksa pasar, memeriksa sukatan dan timbangan, memeriksa barang-barang yang dijual sama ada menipu ataupun tidak, palsu atau asli.

Mengikut riwayat hadis itu pada satu hari nabi pergi berjalan di pasar dan memeriksa makanan yang dijual. Mengikut satu riwayat makanan itu ialah buah kurma yang ditimbun. Lalu nabi memasukkan jarinya ke dalam timbunan buah kurma itu dan didapati kurma yang di bawah basah. Kurma yang kering diletak di atas tujuan menipu.

Nabi kata, “Wahai pemilik makanan ini. Apa ini?  Kamu menipu orang, yang basah kamu letak di bawah dan yang kering di atas”.

“Wahai Rasulullah kena air hujan”, jawab tuan punya kurma itu. Lalu nabi SAW berkata, “Mengapa kamu tidak meletak kurma basah di atas, kamu hendak menipu orang dan barang siapa menipu bukan daripada kalangan puak kita, bukan daripada puak orang Islam yang sebenar”.
Ini menunjukkan bahawa berniaga dengan cara menipu adalah dosa besar dan kena gantilah pada hari kiamat kelak dengan pahala. Kena beri pahala kepada orang yang ditipu. Kalau pahalanya habis maka kena pikul dosa orang yang ditipu. Itu cara membayar pada hari kiamat kelak.

Oleh itu jangan buat main-main dalam perniagaan.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment