Wednesday, October 19, 2016

USAHAWAN TERULUNG

Siapakah usahawan terulung yang berjaya di dunia dan akhirat?  Jawabnya tidak lain dan tidak bukan ialah Rasulullah SAW.

Berniaga dalam Islam adalah satu kerja yang mulia. Nabi semenjak dari umur dua belas tahun sudah dilatih oleh datuknya, Abdul Muttalib dan juga oleh bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam dan Yaman.

Pada suatu hari Abu Talib memanggil anak saudaranya, nabi Muhamad untuk diluahkan isi hatinya. “Kita sekarang ini mengalami kesempitan hidup, hendak makan pun susah. Saya dengar ada seorang usahawan wanita yang cantik jelita, bernama Khatijah, wanita janda yang memerlukan khidmat pemuda-pemuda daripada kabilah kita.

Apa kata kamu pergi minta khidmat daripadanya moga-moga kamu diberi tawaran yang istimewa dan dengan wang yang engkau terima nanti boleh kita gunakan untuk perbelanjaan sara hidup kita”, keluhan Abu Talib.

“Baiklah, kalau itulah kehendak ayahda saya akan menerima kerja itu walaupun kerja itu berat untuk saya. Bawalah saya menemui Khatijah”, sahut nabi Muhamad SAW.

Jiwa berniaga memang sudah sebati dengan jiwa Rasulullah SAW kerana nabi kaum Quraisy. Ayah dan ibunya merupakan kaum Quraisy, iaitu kaum ternama. Kaum Quraisy merupakan kaum yang suka mengumpul harta melalui perniagaan.

Bapa nabi seorang peniaga dan datuknya juga seorang peniaga yang berjaya. Jadi bakat berniaga sudah ada di dalam jiwa nabi SAW.

Bila bertemu dengan Khatijah, Abu Talib berkata, “Ini anak saudara saya. Saya dengar kamu wahai Khatijah memerlukan khidmat dan tenaga daripada pemuda-pemuda. Ambillah anak saudara saya sebagai pekerja kamu, dia akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan dia akan ta’at segala perintah kamu”

“Saya gembira, saya akan mengambil anak saudara tuan bekerja dengan saya. Sebelum ini namanya selalu saya dengar, dia berakhlak mulia, amanah dan jujur, cuma saya belum lagi berkenalan dengan dia”.

Khatijah berkata kepada nabi Muhamad SAW, “Saya akan memberi tawaran kepada kamu dua kali ganda lebih baik daripada orang-orang dalam kabilah kamu sendiri”.

Abu Talib dan nabi SAW menerima tawaran itu dengan senang hati.

Nabi diamanahkan menjadi ketua perdagangan dan rombongan perdagangan pertama dilakukan bersama pembantu Khatijah bernama Maisarah ialah ke Syria. Sepanjang rombongan Maisarah sentiasa memerhati tingkah laku nabi Muhamad SAW.

Nabi Muhamad SAW merupakan insan yang baik, baik tindak tanduknya dan baik percakapan serta budi bahasanya. Semasa menjalankan perniagaan beliau menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah menyebabkan perniagaannya laris.

Seorang Yahudi menguji pendirian nabi Muhamad SAW. “Aku akan membeli barang kamu dengan syarat kamu bersumpah atas nama berhala tuhanku”, kata Yahudi itu.

Nabi Muhamad SAW tidak menjual maruahnya, tetapi tetap mempertahankannya dengan berkata, “Aku tidak akan bersumpah atas nama berhala tuhanmu. Kalau kamu hendak belilah dan kalau tidak mahu beli tidak mengapa”.

Sekembalinya ke Mekah, Maisarah menceritakan segala-galanya kepada Khatijah. Dia bukan sahaja menceritakan keuntungan perniagaan, tetapi sentiasa memuji nabi Muhamad SAW. Apatah lagi dia sudah dapat menghidu isi hati Khatijah terhadap nabi Muhamad SAW.
Rombongan perdagangan bukan sahaja ke Syria bahkan juga ke negara-negara jiran yang lain.

Oleh kerana kebijaksanaanya mengolah perniagaan, jujur dan amanah serta cekap pengiraannya, perniagaan nabi Muhamad SAW mendapat keuntungan berlipat kali ganda kerana diberkati Allah SWT.

Pada suatu hari nabi menemui Khatijah memberitahu keuntungan perniagaannya. Lalu Khatijah menghadiahkannya seekor unta yang sihat, besar dan mengandung. Dengan hati yang amat gembira nabi Muhamad SAW membawa balik unta itu dan diberikan kepada bapa saudaranya Abu Talib. Unta itu melahirkan anak dan berkembang biak menjadikan rezeki bertambah-tambah.

Setelah sekian lama berniaga, Khatijah yang selama ini menepuk sebelah tangan melahirkan isi hatinya terhadap Rasulullah SAW kepada sepupunya bernama Nafisah. “Wahai Nafisah saya rasa berkenanlah dengan Muhamad itu, tetapi tidak tahulah boleh jadi saya bertepuk sebelah tangan”, luahan hati Khatijah kepada Nafisah, kawan baiknya dan juga sepupunya.

“Baiklah Khatijah, serahkan segala urusan itu kepada saya”, sahut Nafisah. Tanpa membuang masa Nafisah terus pergi ke rumah nabi Muhamad SAW.

Sebagai orang tengah, Nafisah bertemu dengan nabi dan bercakap mengenai urusan itu secara tidak terus terang, “Wahai Muhamad kamu sudah berumur dua puluh lima tahun, umur yang sudah sesuai untuk kahwin. Kenapa kamu tidak kahwin-kahwin sampai sekarang wahai Muhamad?”

“Saya hendak kahwin, tetapi saya orang miskin dan rupa paras biasa sahaja. Siapalah berkenan kepada saya”, respon nabi SAW kepada Nafisah.

Kata Nafisah, “Kamu hendak atau tidak kalau ada seorang perempuan yang boleh menyelesaikan masalah kamu, seorang wanita walaupun berusia empat puluh tahun tetapi rupa parasnya jelita, kulitnya bersih dan digelar ‘wanita yang suci’. Wanita ini merupakan seorang usahawan yang berjaya dan kaya pula”.

Tercengang Rasulullah SAW mendengarnya kerana nabi tidak pernah berfikir yang Khatijah berkenan kepadanya. Nabi jauh berbeza dengan Khatijah. Nabi seorang miskin, Khatijah pula jutawan dan rupa parasnya cantik jelita. Tambahan pula nabi pekerja dan Khatijah majikannya. Jadi tidak layak untuk digandingkan dengan Khatijah

“Siapakah wanita yang kamu maksudkan, wahai Nafisah”, bertanya nabi SAW kepada Nafisah.

Nafisah tersenyum sahaja bila mendengar pertanyaan nabi itu, lalu berkata, “Wanita yang saya maksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Khatijah RA. Dia sudah lama terpaut dengan akhlakmu dan amat suka kepada kamu. Apakah jawapan kamu kepada Khatijah wahai Muhamad?”

Ketika itu Rasulullah SAW berkata kepada Nafisah, “Apa dah hendak jadi. Saya amat jauh berbeza dengan Khatijah”.

“Tidak kisahlah! Yang penting engkau setuju ataupun tidak. Kalau engkau setuju serahkan segala urusan seterusnya kepada aku”, kata Nafisah.

Sudah tentulah nabi SAW bersetuju. Dan Nafisah balik dengan hati yang gembira menemui Khatijah.

Nafisah memberitahu Khatijah berita gembira itu. Khatijah seronok kerana sekarang bukan lagi bertepuk sebelah tangan tetapi dua belah tangan.

Urusan peminangan dan perkahwinan dilakukan oleh bapa saudara kedua-dua belah pihak. Akhirnya dua merpati ini disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah. Ketika itu umur Khatijah empat puluh tahun, sudah dua kali janda dan mempunyai empat orang anak.

Namun begitu Khatijah masih jelita dan telah menolak banyak pinangan sebelum ini termasuk pinangan daripada jutawan. Nabi Muhamad SAW baharu berusia dua puluh lima tahun.

Ternyata jarak umur bukanlah halangan bagi mereka kerana pasangan mereka merupakan pasangan yang serasi, pasangan sehati dan sejiwa. Sebaik-baik sahaja dilangsungkan perkahwinan nabi Muhamad SAW berjaya melayari bahtera perkahwinan dengan penuh aman dan bahagia.

Perkahwinan mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, tiga lelaki dan empat perempuan. Nabi SAW diuji oleh Allah SWT kerana ketiga-tiga anak lelaki baginda meninggal dunia ketika masih kecil.

Ketika bersama Khatijah nabi hidup di rumah yang mempunyai empat buah bilik. Bilik yang pertama untuk nabi bersama Khatijah, bilik untuk suami isteri, bilik kedua untuk anak-anak perempuan mereka, bilik ketiga khusus untuk nabi melakukan ibadat kepada Allah SWT dan seterusnya bilik keempat khusus untuk nabi menerima tetamu. 

Ketika hendak wafat Siti Khatijah berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah saya tidak boleh menolong apa-apa lagi ya Rasulullah, saya akan pergi jauh daripada kamu. Ya Rasulullah seandainya tulang belulangku ini boleh dijadikan tombak untuk engkau gunakan di medan peperangan ambillah tulang belulangku ini, gunakan di medan peperangan kerana hartaku tidak ada lagi untuk membantu perjuanganmu”

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment