Tuesday, October 18, 2016

MENUNTUT ILMU WAJIB


Menuntut ilmu merupakan satu kefarduan yang telah ditetapkan ke atas muslimin dan muslimat sebagaimana yang telah disabdakan oleh nabi SAW, “Menuntut ilmu itu merupakan suatu kewajipan, suatu kefarduan ke atas orang Islam lelaki dan orang perempuan.”

Ayat pertama yang diturunkan dalam al-Quran ialah, ‘Iqra’ bismirallazi qala’. Ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya ilmu bagi kita kerana Islam merupakan satu agama yang diasaskan dengan asas ilmu sehingga bila kita hendak mentauhidkan Allah, bila kita hendak mengabdikan diri kepada Allah mesti bermula dengan ilmu.

Allah SWT berfirman maksudnya, “Ketahuilah kamu bahawa tiada tuhan melainkan Allah” bermaksud hendaklah kamu mempelajari akan ilmu-ilmu ketuhanan itu supaya kamu kenal tuhan, kamu kenal segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada pada-Nya, supaya kamu kenal dan kamu tahu segala sifat-sifat mustahil yang tidak ada pada tuhan, supaya kamu kenal sifat-sifat yang harus yang ada pada tuhan, supaya dengan itu kamu dapat mengenali Allah SWT, tuhan yang kita sembah dan tuhan yang kita minta tolong daripada-Nya.

Menuntut ilmu mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Mengapakah Allah SWT dan rasul-Nya memberitakan kepada kita bahawa menuntut ilmu ini mempunyai banyak kelebihan dan fadilatnya? Ini adalah untuk menggalakkan orang Islam menuntut ilmu kerana bila mereka mempunyai ilmu baharulah mereka dapat menjadi seorang muslim yang sejati.

Banyak hadis mengenai kelebihan menuntut ilmu. Nabi SAW bersabda maksudnya, ”Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkan al-Quran itu kepada orang lain”.

Nabi SAW telah menggariskan bahawa sebaik-baik manusia di atas muka bumi ini ialah orang yang belajar tidak kira dia belajar al-Quran atau ilmu-ilmu yang lain, tidak kira yang dipelajarinya itu ilmu yang berkaitan dengan fardu ‘ain ataupun fardu kifayah.

Nabi Muhamad SAW bersabda lagi bermaksud, “Bandingan kelebihan seorang lelaki yang alim dengan seorang habib yang tidak mempunyai ilmu sekalipun dia merupakan seorang ahli ibadat tetapi ibadat yang dilakukan itu bukan bersama ilmu. Bandingannya ialah seperti bulan purnama yang terang berbanding dengan bintang-bintang kecil di sekelilingnya. Sesungguhnya para ulama tidak meninggalkan dinar, tidak meninggal dirham tetapi meninggalkan ilmu dan orang berilmu mewarisi harta yang ditinggalkan oleh nabi SAW”, kerana itulah nabi bersabda maksudnya, “Sesungguhnya para ulama mewarisi harta-harta ditinggalkan oleh para nabi SAW”
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya para malaikat melabuhkan, mengembangkan sayap-sayap mereka kepada penuntut-penuntut ilmu kerana redha dan suka di atas aktiviti yang mereka lakukan itu”.

Apabila seseorang itu suka menuntut ilmu nabi SAW telah memberi jaminan bahawa menuntut ilmu merupakan tiket untuk masuk ke dalam syurga Allah SWT.

Sepotong hadis nabi SAW bermaksud, “Orang yang mengajar orang lain tentang kebaikan ikan-ikan di laut akan memohon keampunan untuk orang ini”. Bayangkan betapa besarnya orang yang memiliki ilmu.

Oleh itu rajin-rajinlah menjadikan diri kita ke dalam majlis ilmu moga-moga kita menjadi hamba Allah yang disayangi dan diredhai oleh makhluk-makhluk Allah SWT.

KULIAH YT
ZZ

No comments:

Post a Comment