Thursday, October 20, 2016

TIPS UNTUK MENGENAL DUKUN MENGGUNAKAN SEHIR


Antara tanda-tanda bahawa bomoh menggunakan sihir:

1. Pesakit ditanya mengenai nama dan nama ibunya

2. Menggunakan bahan-bahan atau pakaian tertentu seperti baju, songkok, sapu tangan dan lain-lain. Pakaian yang diminta adalah pakaian lama yang sebati dengan tubuh.

3. Minta menyediakan seekor haiwan yang mempunyai sifat-sifat tertentu untuk dikorbankan. Menyembelih dengan menyebut nama selain daripada nama Allah adalah syirik hukumnya. Makanan tersebut haram dimakan. Kita juga haram makan sembelihan oleh bukan Islam kecuali ahli kitab.

4. Adanya tulisan-tulisan mentera tertentu.

5. Adanya bacaan jampi serapah atau mentera yang tidak difahami maknanya. Jampi dengan bahasa yang boleh difahami dan tidak ada unsur-unsur syirik dibolehkan walaupun bukan Quran dan hadis.

6. Memberi kepada pesakit bungkusan yang mengandungi di dalamnya gambar rajah empat persegi yang bertulis huruf-huruf dan nombor-nombor tertentu.

7. Menyuruh pesakit mengasingkan dirinya daripada orang ramai selama beberapa hari di dalam bilik khas yang tidak ditembusi mata hari. Amalan ini dikenali dalam masyarakat kita dengan bertapa.
 
8. Menyuruh pesakit tidak menyentuh air pada waktu-waktu tertentu sepanjang masa biasanya empat puluh hari.

9. Memberikan pesakit sesuatu yang perlu ditanam sebagai pendinding supaya jangan diganggu.

10. Memberi kepada pesakit beberapa helai kertas dan seterusnya kertas tersebut hendaklah dibakar dan diasap seperti diasap kemiayan dan membaca dengan bahasa yang tidak boleh difahami.

11. Kadang-kadang tukang sehir terlebih dahulu mengetahui kedatangan pesakit dan mampu pula memberitahu pesakit namanya dan nama negerinya serta permasalahan yang dihadapinya. Bagaimana dia mengetahui? Kerana dia bertanya kepada syaitan pengiring namanya qarin.
  
Nabi Muhamad SAW telah bersabda, “Setiap manusia ada qarin.

Lalu Siti Aisyah bertanya adakah kamu ada juga qarin, ya Rasulullah”.

Nabi menjawab, “Ada. Tetapi dengan izin Allah dia telah memeluk Islam dan dia tidak memerintah aku kecuali yang baik-baik belaka”.

Qarin yang ada pada kita adalah qarin kafir. Kata ulama aqidah, bila pesakit datang, qarin yang ada pada dukun mendapat maklumat daripada qarin pengiring pesakit lalu membisik kepada telinga dukun.

Oleh sebab itu dukun tahu nama pesakit, negeri dan masalah pesakit lebih awal lagi.
 
12. Menulis huruf putus-putus pada sehelai kertas dimasuk ke dalam air dan disuruh meminumnya.

Apabila sakit kita mesti berubat. Orang sakit akan menemui apa sahaja bomoh asalkan penyakitnya sembuh. Bomoh Siam, bomoh Jawa atau bomoh-bomoh yang menggunakan sehir.

Banyak jenis sehir seperti santau, sehir supaya seseorang itu sakit atau mati, sehir pengasih, sehir supaya seseorang itu tunduk kepadanya (ilmu penunduk) dan sebagainya.

Pengamal ilmu sehir adalah berdosa besar. Berubat dengan bomoh yang diketahuinya mengguna sehir adalah haram dan jika dia mempercayainya maka hukumnya murtad.

Jadi kita hendaklah cermat menggunakan perubatan alternatif. Berubatlah dengan cara perubatan Islam walaupun lambat sembuh supaya iman terselamat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment