Kehamilan adalah satu fasal yang
penting dalam kehidupan seorang wanita kerana wanita yang hamil banyak
mengalami perubahan. Kehamilan juga boleh dilihat sebagai anugerah diberikan
kepada seorang wanita. Yang paling agung kepada seseorang wanita itu ialah
menjadi seorang ibu. Ini bukanlah hendak menafikan wanita yang tidak berpeluang
untuk hamil.
Kalau dilihat dari aspek
kesihatan kehamilan ialah satu proses fisiologi iaitu suatu yang semula jadi
kerana wanita dibekalkan oleh Allah SWT dengan organ reproduksi iaitu rahim
yang boleh mengandung dan juga menyebabkan pembesaran zuriat manusia di
dalamnya.
Proses kehamilan menyebabkan
banyak perubahan:
1. Aspek anatomi: Apabila hamil bentuk tubuh badan wanita menjadi
besar, muka menjadi sembab-sembab.
2. Aspek fisiologi: Denyutan
jantungnya lebih kuat daripada wanita yang
tidak hamil. Denyutan nadi pun lebih pantas dan bernafas dengan lebih
kuat semata-mata untuk janin dalam rahim mendapat lebih banyak oksigen. Jadi si
ibu yang hamil ini terpaksa mengalami perubahan fisiologi yang amat ketara.
3. Ada berlaku perubahan dari
sudut emosi dan saikologi: Wanita hamil mula-mula rasa seronok, lepas itu
letih. Dia merasa seolah-olah tidak pasti sama ada kehamilannya berjalan dengan
baik atau tidak. Kelahiran anak dapat berjalan dengan selamat atau tidak. Oleh
itu wanita hamil perlu diberi sokongan kuat dari segi saikologi.
4. Aspek sosial: Wanita hamil
akan mencapai status yang paling istimewa. Contoh wanita yang syarat sangat
mengandung, kalau dia hendak lalu di koridor atau di kawasan yang sesak, semua
orang ketepi untuk memberinya laluan.
Perubahan-perubahan ini perlu
ditangani dengan baik. Oleh sebab itu amatlah penting bagi wanita, suaminya dan
ahli keluarganya mempastikan dia mempunyai amalan-amalan tertentu yang perlu
untuk menyokong perjalanan hariannya.
Kehamilan bukan perkara mudah,
tergambarlah sembilan bulan mengandung dan terpaksa mengalami perubahan. Apa
yang kita harapkan ialah kehamilan itu akan melahirkan anak yang sihat, ibu
yang sihat dan mohon kepada tuhan agar dijauhi daripada kelahiran yang
menghadapi masalah kesihatan dan tidak menyenangkan.
Sebelum menentukan proses
kehamilan berjalan dengan baik, kehamilan mestilah dirancang terlebih dahulu.
Bila disahkan hamil, kita mestilah rasa bersyukur dan bersedia terhadapnya.
Jangan ada sikap acuh tidak acuh dan kecewa. “Ala mengandung lagi”. Cuba elak
perkara demikian dan itu menunjukkan kehamilan itu tidak dirancang. Apalah
nasib agaknya bayi dalam kandungan dalam keadaan kita tidak bersedia. Apatah
lagi bila rasa tertekan lalu berkata, “Kalau macam ini cuci sahajalah”.
Oleh itu pastikan kehamilan
dirancang dan direncanakan terlebih dahulu.
Apakah amalan-amalan yang patut
dilakukan oleh wanita hamil supaya kehamilan dapat dijaga dengan baik. Bila
disebut amalan ia bukan sahaja kepada wanita yang hamil tetapi yang penting
ialah bakal menjadi bapa. Bapa dan ahli keluarga yang lain perlulah bersedia.
Tidak kiralah sama ada kehamilan itu kali pertama, kedua atau ketiga semua
orang mestilah bersedia dengan kehamilan itu.
Amalan boleh dibahagikan kepada
tiga fasal:
1. Tiga bulan pertama iaitu
peringkat awal kehamilan atau samester pertama
Pada peringkat ini wanita baharu
sahaja mengetahui dia hamil. Ketika ini selalunya dia mabuk atau dikatakan
pembawaan budak. Setengahnya begitu teruk, tidak selira hendak makan dan minum
dan perlu dibawa ke hospital untuk dirawat. Wanita ini biasa serik dan tidak
mahu mengandung lagi.
Ketika ini si ibu perlu
mempastikan bahawa makanannya terjaga, pastikan mendapat rehat yang cukup .
Anggaplah kehamilan itu sesuatu
yang positif. Peringkat ini peringkat yang paling tidak seronok sekali, rasa
marah-marahlah, rasa sedihlah dan timbullah perasaan hendak menyuci kehamilan.
Kalau wanita itu bersedia untuk
kehamilan dan suaminya juga bersedia bila sahaja sahkan kehamilan alangkah
baiknya dia dan suaminya melakukan sujud syukur atas nikmat yang Allah berikan.
Tanamkan keazaman dan tekad
bahawa kehamilan ini akan dijaga dengan sebaik-baiknya. Banyakkan beristighfar
kepada Allah, bersalawat dan rajinlah membaca doa. Berdoa supaya diberi
kelahiran yang mudah dan anak yang sihat, cerdik akalnya, berilmu dan beramal
solih.
Ruangkan masa untuk membaca
al-Quran dan elok bertadarruh bersama suami.
Ketika ini elok dibaca surah
Yusuf kerana ketika ini anak dalam kandungan sedang membentuk organ-organ yang
penting dalam badannya. Dengan membaca surah Yusuf kita memohon kepada Allah
semoga anak itu sempurna sifatnya dari segi fizikal, mental dan emosi.
2. Masuk bulan keempat hingga
bulan keenam dikatakan peringkat pertengahan kehamilan atau semester kedua.
Ketika ini biasanya ibu yang
hamil itu hilang rasa muntah-muntahnya dan mulai rasa pergerakan anaknya. Si
ibu mula rasa selesa dengan kehamilan itu.
Amalan yang penting ketika ini
ialah terus bertemu dengan doktor sebagaimana yang dijadualkan. Pemeriksaan
ultra sound dilakukan ketika ini untuk melihat bayi dalam kandungan normal atau
tidak. Jagaan makanan menjadi sesuatu yang penting dan hendaklah rehat
secukupnya. Ketika ini senangan ringan boleh diteruskan.
Amalan-amalan doa dan amalan
bacaan al-Quran mesti diteruskan. Pada peringkat ini dinasihatkan membaca surah
Luqman kerana surah ini banyak memberi pengajarn kepada anak dalam kandungan
dan kita hendaklah niatkan supaya anak itu mendengar ayat-ayat ini.
Orang bertanya adakah anak itu
boleh mendengar bacaan al-Quran itu. Mengikut kajian anak-anak dalam kandungan
boleh dirangsang dengan muzik ataupun bacaan al-Quran.
Kepada ibu yang akan melahirkan
anak sulung hadirilah kelas-kelas yang dianjurkan oleh hospital yang akan
memberi tunjuk ajar mengenai kehamilan dan penjagaan anak.
Amalan semasa mengandung ini
bukan sahaja kepada orang perempuan. Bakal bapa kenalah melakukan amalan sunat
seperti bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat , membaca al-Quran, berzikir
dan berdoa.
Kepada perokok inilah masa
terbaik untuk membuang tabiat merokok. Asap rokok memberi implikasi kesihatan
kepada wanita hamil.
Doa mestilah dibaca bersama-sama.
Bila membaca surah Luqman biarlah isteri duduk di hadapan. Teman-temanlah
isteri, berilah sokongan kepada isteri yang hamil. Adalah lebih baik suami
mengambil cuti supaya dapat menemani isteri, teman-temanlah isteri ke klinik.
Sokongan dan bantuan suami sangat
bererti kepada isteri hamil. Perlu disedari bahawa anak yang lahir nanti
dibinkan atas nama bapanya bukan atas nama ibunya.
3. Masuk tujuh bulan ke atas
ialah semester ketiga.
Peringkat ini peringkat yang
hampir dengan kelahiran. Biasanya si ibu berasa berdebar-debar. Dia sentiasa
berfikir bagaimana kelahirannya selamat atau tidak dan di mana dia hendak
melahirkan anak.
Antara kebimbangan yang
diberitahukan ialah dia cukup bimbang kalau-kalau tidak sempat ke hospital. Ibu
hamil bimbang takut-takut beranak dalam kenderaan dan sebagainya.
Pada peringkat ini ada banyak
implikasi kehamilan boleh berlaku antaranya darah tinggi yang boleh mengancam
nyawa sekiranya tidak dikesan lebih awal. Wanita itu boleh jadi pucat kerana
kehamilan sampai ke penghujungnya, mungkin juga mengalami pendarahan kalau uri
itu berada di bawah. Ada juga wanita didapati berlebihan gula dalam darahnya
(kencing manis).
Jadi wanita lebih kerap menjumpa
doktor, mungkin dua minggu sekali atau seminggu sekali. Ketika ini sokongan
emosi amat penting kerana wanita sudah letih hamil menyebabkan semangatnya
semakin menurun.
Suaminya juga kadang-kadang letih
juga hendak menyokong isteri. Ada pasangan suami isteri di peringkat ini asyik
hendak bergaduh sahaja. Isteri cepat sangat terasa hati dan mula merepek,
“Maklumlah saya dah tidak cantik macam dulu, awak tidak sayang lagi dekat
saya”.
Di peringkat ini mesti ada
motivasi yang tinggi dan banyak berdoa kepada Allah memohon supaya proses
kehamilan berjalan lancar dan baik, minta jauh dari operasion. Si ibu pula hendak banyak bersabar dan cuba
menahan perasaan marah.
Dikehendaki banyak membaca surah
Maryam supaya dapat melahirkan anak semudah Maryam melahirkan anaknya. Dalam
al-Quran ada ayat selusuh yakni surah an-Nahl ayat 78 bermaksud, “Dan bagi tiap-tiap
seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan
(amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu
tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan”.
Semoga dikurnia Allah SWT
kelahiran yang mudah, zuriat yang sempurna sifatnya, cerdas dan solih, Insya
Allah.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment