Thursday, October 20, 2016

MENABUNG


Hampir empat puluh ayat al-Quran membicarakan mengenai berbelanja, tetapi jarang ayat al-Quran yang membicarakan mengenai menabung secara khusus. Namun begitu dalam ayat al-Quran yang membicara mengenai berbelanja ada juga indikasi yang menyuruh kita menabung.

Merujuk kepada surah ash-Shūraá ayat 38, “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”

Mengikut ulama tafsir ayat ini menunjukkan sebahagian daripada pendapatan dibelanjakan dan sebahagian lagi disimpan atau ditabung untuk kegunaan masa depan.

Nabi Muhamad SAW sendiripun pernah menyimpan makanan untuk keluarganya selama satu tahun. Ini menunjukkan bahawa menyimpan atau menabung itu salah satu dari tuntutan Islam.

Tujuan menabung ialah supaya kita dapat mengimbangi kehidupan kita di masa akan datang kerana masa akan datang adalah tidak pasti. Di masa akan datang keadaan mungkin senang dan mungkin juga susah.

Ini digambarkan dalam surah Yusuf ayat 47 yang bermaksud,
“Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan”.

Ini menunjukkan bahawa nabi Yusuf yang mengurus ekonomi negara Mesir masa itu menyimpan sebahagian dari hasil negara untuk keperluan masa akan datang.

Ini dijelaskan dalam ayat yang berikutnya:
Surah Yūsuf:48 - Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

Jelas ayat itu menyuruh kita mengurus kewangan dengan bijak. Sebahagiannya mesti ditabung untuk keperluan khususnya ketika susah pada masa akan datang.

Itulah falsafah di sebalik menabung.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment