Thursday, October 20, 2016

WIRA NIAGA

Wira niaga merujuk kepada golongan usahawan. Usahawan bukan satu bidang main-main tetapi ia memerlukan satu bidang perjuangan demi mengangkat ekonomi umah. Oleh sebab itu golongan peniaga atau usahawan yang kita istilah sebagai wira niaga ini pada pandangan agama mereka mempunyai kelebihan yang amat tinggi.

Kelebihan orang-orang yang berniaga ialah:

1. Rezeki orang yang berniaga lebih banyak berbanding dengan orang makan gaji. Dalam sehari Allah turunkan sepuluh rezeki kepada manusia. Daripada sepuluh rezeki itu sembilan darinya adalah untuk orang-orang berniaga. Hanya satu bahagian sahaja diberikan kepada orang-orang yang makan gaji.

Mafhumnya di sini kalau orang makan gaji tetapi hidupnya kaya raya pasti ada sesuatu yang tidak kena. Demikan juga orang berniaga yang tidak kaya raya pun ada sesuatu yang tidak kena.

Orang yang makan gaji dan orang yang berniaga, rezekinya jauh berbeza. Ada orang berniaga mendapat RM3,000.00 sehari, tetapi bagi orang yang makan gaji sebulan baharu mendapat RM3,000.00

2. Orang berniaga darjatnya diangkat oleh Allah SWT. Dalam satu riwayat bagaimana Saidina Omar menceritakan bahawa pada suatu hari beliau ditanya oleh sahabat-sahabatnya, “Wahai Omar sekiranya diberi pilihan untuk mati, kamu hendak mati di mana?”

“Kalau saya diberi pilihan untuk mati, pertama saya memilih untuk mati fi sabilillah. Kedua saya memilih ketika sedang berniaga”, jawab Saidina Omar.

Para sahabat kehairanan, “Mengapa kamu memilih untuk mati masa berniaga. Kenapa tidak memilih untuk mati ketika sedang solat, sedang towaf, sedang membuat haji atau sedang membuat umrah”.

Kata Saidina Omar, “Saya berkata demikian kerana dalam al-Quran surah al-Muzzammil ayat 20, Allah SWT menyatakan ada dua kelompok manusia yang tuhan angkat darjat mereka.

Kelompok pertama ialah orang yang keluar mencari rezeki yang Allah kurniakan di atas muka bumi ini iaitu orang yang berniaga.

Kedua ialah orang yang berjuang di jalan Allah”.

Orang yang berniaga adalah golongan yang bertuah kerana Allah menggandingkan mereka dengan golongan yang mati syahid.

Mengikut hadis riwayat Turmuzi, “Para peniaga yang jujur dan amanah mereka ini pada hari kiamat akan duduk bersama para nabi, syuhadat, dan siddikin”.

Siapakah peniaga-peniaga yang amanah ini?

Dalam satu hadis riwayat Asbahani dan Albaihaki, nabi bersabda peniaga yang amanah ada tujuh:

1. Bila bercakap dia tidak berbohong. Ini bermakna bila berniaga jangan menipu. Barang tiruan jangan cakap barang asli. Barang lama cakap barang lama. Para sahabat bila berniaga mereka jujur.

Mereka kata, “Barang ini saya jual RM3.00. RM1.00 untuk untung saya, RM1.00 untuk nafkah keluarga saya dan RM1.00 lagi untuk derma fi sabilillah.

2. Bila berjanji dia tidak mungkir. Misalnya seorang tukang jahit berjanji baju boleh siap dalam masa sepuluh hari. Tetapi sebulan belum lagi siap. Ini sudah mungkir janji. Jadi kalau tidak mampu jangan berjanji.

3. Bila diberi amanah dia tidak khianat amanah itu.

4. Peniaga tidak memuji barang-barang yang dijual dengan melampau-lampau. Ada peniaga memuji barangnya dengan melampau. Misalnya semua orang kata bagus barang ini. Ubat ini pasti sembuh penyakit.  Sebagai orang Islam gunakanlah perkataan ‘dengan izin Allah, dengan kehendak Allah’

5. Bila mengambil stok barang dia tidak akan cerca barang itu kepada pembekal.

6. Bila berniaga dia tidak akan menyusahkan pelanggan atau pihak-pihak lain

7. Peniaga tidak suka menangguh-nangguhkan pembayaran.

Dalam Islam perniagaan adalah harus. Tetapi hukum boleh berubah menjadi haram jika ada empat unsur:

1. Jangan ada riba’

2. Jangan ada penipuan. Makanan dikatakan elok sedangkan sudah basi. Ini adalah penipuan

3. Perniagaan menzalimi pihak kedua atau pihak lain. Contoh menjual barang-barang yang boleh menjadi mudarat. Contoh jual dadah.

4. Mestilah telus. Berniaga spekulasi sebagai contoh. Perniagaan barang yang belum wujud. Menjual ikan dalam sangkar yang belum ditangkap. Perniagaan begini tidak telus dan ada unsur tidak puas hati bagi kedua-dua pihak.
  
Dalam Islam benda-benda haram tidak boleh dijual sama sekali. Arak, khinzir dan dadah adalah haram dijual.

Dalam satu kisah bahawa seorang sahabat membawa bekas air yang berisi arak yang diperbuat daripada kulit untuk diberi kepada Rasulullah. “Terimalah ya Rasulullah”, kata sahabat itu.

Nabi bersabda, “Saya tidak boleh menerima arak kerana Allah telah mengharamkan arak”.

Maka kata sahabat itu, “Oh kalau begitu saya jual sahajalah arak ini”.

Sabda Rasulullah SAW, “Benda yang haram diminum haram juga dijual”.

“Kalau begitu saya hendak membuat apa. Saya hadiah kepada Yahudi sahajalah, saya hadiah sahajalah kepada bukan Islam”, kata sahabat.

Nabi bersabda, “Benda yang diharamkan, diharamkan minum, diharam kita jual, diharam juga kita menghadiahkannya kepada sesiapa termasuklah yang bukan Islam”.

“Habis ya Rasulullah saya hendak membuat apa dengan arak ini” kata sahabat itu lagi.

Nabi bersabda lagi, “Pergilah kamu ke jalan raya dan buang sahaja arak itu”.

Pengajaran dari kisah itu ialah jangan menjual benda-benda haram walau apa alasan sekalipun.

2. Apabila berniaga jangan sekali-kali menipu.

Dalam satu hadis riwayat imam Turmuzi, “Di akhirat nanti semua peniaga dibangkitkan sebagai penjenayah kecuali tiga jenis peniaga yang dibangkitkan bersama nabi iaitu peniaga yang bertaqwa kepada Allah, peniaga yang berbuat baik dan peniaga yang tidak menipu pelanggan”

Nabi telah bersabda ketika melihat peniaga menjual makanan yang basi, “Siapa yang menipu maka dia bukan daripada golongan kami, iaitu bukan dari kalangan orang Islam”.
  
3. Jangan sorok barang-barang keperluan seperti gula, beras, susu, tepung dan minyak masak.

4. Tidak boleh bersumpah bohong untuk melariskan perniagaan.

Dalam satu hadis, “Orang yang menjadikan Allah sebagai barang dagangan”.

Kalau hendak melariskan jualan jangan menjual nama Allah. Contoh, “Demi Allah kalau makan ubat ini semua penyakit baik”

5. Jangan meninggikan harga khususnya barang-barang berkaitan dengan orang-orang Islam terutama sekali keperluan untuk menunaikan ibadat. Kita meninggikan harga sehingga ramai orang Islam tidak mampu membelinya adalah dilarang.

Dalam satu hadis nabi bersabda, “Sesiapa yang menokok-tambah harga pada barang-barang keperluan orang-orang Islam maka Allah akan menyiksa dia di hari kiamat kelak”, hadis daripada Makkal bin Yasar.

Maka wahai peniaga janganlah menaikkan harga dengan sesuka hati.

6. Peniaga tidak boleh lalai dari ibadat. Sesetengah peniaga pasar malam mungkin tidak solat maghrib kerana waktu maghriblah ramai pembeli.

7. Jangan lupa mengeluarkan zakat dan memberi sedekah. Berdoalah kepada Allah agar perniagaan laris dan mendapat untung besar supaya kita dapat membayar zakat dan bersedekah.

Mungkin selama ini kita tidak pernah berdoa. Selalulah berdoa kepada Allah, Insya Allah dimakbulkan.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment