Menjadi lumrah apabila isteri
meninggal suami berkahwin lain atas alasan menjaga anak-anak. Sebaliknya
apabila suami meninggal biasanya isteri tidak berkahwin lain dengan alasan
untuk membesar anak-anak.
Senario ini pernah dilalui oleh
isteri-isteri sahabat nabi SAW. Antara contohnya ialah Ummu Hanim yang telah
berpisah dengan suaminya kerana tidak mahu memeluk Islam menyebabkan ia
terpaksa menanggung dan membesar anak-anaknya bersendirian.
Dengan rasa kasihan dan ingin
membantu maka Rasulullah SAW masuk melamarnya untuk dijadikan ummul mukminin.
Tetapi apa kata Ummu Hanim.
Dengan tegasnya Ummu Hanim berkata, “Ya Rasulullah sesungguhnya engkau lebih
aku cintai daripada pendengaran dan penglihatan aku sendiri tetapi hak suami
sangatlah besar. Apa kata ya Rasulullah jika aku melayani suamiku anak-anakku
akan terbiar, dan jika aku melayani anak-anak aku, aku khuatir hak suami tidak
dapat aku tunaikan”
Mendengar jawapan itu maka Rasulullah
memuji dan mengiktiraf keikhlasan Ummu Hanim sebagai seorang wanita yang
berbudi pekerti mulia dan bertanggungjawab.
Oleh itu syabas kepada para ibu
tunggal. Sebenarnya Islam memberi kedudukan yang amat tinggi dan amat dihargai
pengorbanan para ibu tanpa suami. Amat penting bagi ibu-ibu menjadi ibu yang
solih. Para ibu tunggal yang menghabiskan usia mudanya untuk membesar anak-anak
akan berada bersama Rasulullah di akhirat nanti.
Hadis Rasulullah yang bermaksud,
“Pada hari akhirat kelak aku akan duduk berdekatan seperti dua jari yang
bergandingan dengan para wanita yang pipi mereka sering dibasahi dengan
kebimbangan dan kesedihan kerana menyara anak-anak perempuannya sehinggalah
mereka berkahwin”
Wanita yang dimaksudkan itu ialah
semua wanita lebih-lebih lagi wanita yang mempunyai rupa paras cantik dan berkedudukan
mulia dan tidak berkahwin semula selepas kematian suami kerana memelihara
anak-anak yatim.
Oleh itu para ibu teruslah
pengorbanan anda memelihara anak-anak yatim sehingga menjadi anak-anak solih
dan solihah yang akan mendoakan supaya anda berbahagia di dunia dan juga di
akhirat.
Hayatilah sabda Rasulullah SAW yang
menyatakan pengorbanan ibu terhadap anak-anaknya menjadikan ia sebagai penghuni
syurga dan akan menyelamatkannya daripada api neraka.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment