Sunday, October 16, 2016

SEMBAHYANG MENGIRINGI WAKTU (ROWATIB)



1. Hadis riwayat Muslim, “Tiada di kalangan seseorang hamba yang Islam bersembahyang kerana Allah SWT pada tiap-tiap hari dua belas rakaat sembahyang sunat lain daripada sembahyang fardu melainkan Allah membinakannya sebuah rumah dalam syurga”.

Hadis menunjukkan kelebihan sembahyang sunat rowatib dua belas rakaat atau dicampur dengan sunat dhuha bukan sahaja menampung kekurangan sembahyang fardu tetapi diberi sebuah rumah dalam syurga. Bila diberi rumah dalam syurga bermakna boleh masuk syurgalah.

2. Hadis muttafakun alaih daripada Ibni Umar RA katanya, “Aku telah sembahyang dengan Rasulullah SAW dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Jumaat, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isya”. 

Hadis menunjukkan sembahyang sunat rowatib itu adalah sunat muakkadah. Mengikut pendapat jumhul ulama (sebahagian besar ulama mazhab) oleh kerana sembahyang Jumaat mengganti sembahyang Zuhur disunatkan juga sembahyang sunat dua rakaat sebelum Jumaat.

3. Hadis muttafakun alaih bermaksud, “Di antara dua azan itu ada sembahyang sunat, di antara dua azan itu ada sembahyang sunat, di antara dua azan itu ada sembahyang sunat dan menyebut kali ketiga bagi siapa yang mahu”.

Antara dua azan itu bermaksud azan dan iqomat. Hadis ini menyatakan ada sembahyang sunat antara dua azan termasuk antara dua azan sembahyang maghrib. Jadi bolehlah sembahyang sunat sebelum maghrib (Qabliah).

4. Hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah RH bermaksud, “Nabi SAW tidak meninggalkan sembahyang sunat empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sebelum Subuh”.
  
5. Mengikut hadis,”Barang siapa yang sentiasa mengerjakan 4 rakaat sunat sebelum Zuhur dan 4 rakaat selepas Zuhur, Allah akan bena sebuah rumah untuknya dalam syurga”

6. Hadis muttafakun alaih daripada Aisyah RH bermaksud, “Tidak ada sesuatu sembahyang sunat diberi perhatian oleh nabi SAW lebih daripada dia memberi tumpuan dan perhatian kepada dua rakaat sebelum fajar iaitu dua rakaat sebelum subuh”.

7. Hadis riwayat Muslim daripada Aisyah RA bermaksud, “Nabi SAW bersabda dua rakaat sembahyang sunat Subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya”. Dan dalam riwayat Bukhari dan Muslim “sembahyang yang aku lebih kasih daripada dunia seluruhnya”
.
8. Hadis riwayat Abu Daud bahawa nabi datang lewat ke masjid kerana Rasulullah sembahyang sunat fajar dengan elok.

Sembahyang sunat Subuh lebih afdal daripada sunat muakkadah yang lain. Sembahyang sunat rowatib lebih afdal daripada sembahyang sunat tarawikh dan lebih afdal daripada sembahyang sunat yang lain kerana sunat rowatib mengiringi sembahyang fardu.

-  KULIAH YT

No comments:

Post a Comment