Sunday, October 16, 2016

SEMBAHYANG WITIR



Sembahyang witir adalah sunat muakkadah, iaitu sunat yang digalakkan mengerjakannya

1.  Hadis Hasan riwayat Abu Daud dan Tarmizi Dari Ali RA katanya, “Sembahyang witir tidak wajib seperti sembahyang yang diwajibkan tetapi ia disunatkan oleh rasulullah SAW. Sabdanya, sesungguhnya Allah itu witir iaitu tunggal, Ia mengasihi yang tunggal maka berwitirlah kamu wahai ahli Quran”

Hadis menunjukkan bahawa sembahyang witir adalah sunat muakkadah yang digalakkan kita melakukan dengan berkekalan untuk mendapat kasih Allah SWT. Sembahyang ini mengambil berkat daripada sifat Allah SWT iaitu esa. Allah SWT tiada sekutu baginya, tidak ada tandingan dan bandingan baginya. 

Sembahyang witir adalah sembahyang yang tidak genap yang ditunaikan 1. 3, 5, 7, 9 dan 11 rakaat. Hadis ini juga menyatakan bahawa nabi menyeru kori-kori al-Quran dan orang-orang yang hafal Quran supaya beramal sembahyang witir.

2. Hadis muttafakun alaih daripada Aisyah RH katanya, “Daripada tiap-tiap malam sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan sembahyang witir masanya awal malam, pertengahan malam dan akhir witir sehingga waktu sahur”

Hadis ini menunjukkan waktu sembahyang witir Iaitu selepas sembahyang Isya sehingga sebelum naik fajar waktu Subuh. 

3. Hadis muttafakun alaih daripada Ibni Umar RH. “Jadikanlah akhir sembahyang kamu di waktu malam dengan sembahyang witir”.

Hadis ini menunjukkan bahawa sekurang-kurang witir ialah satu rakaat dan yang akmalnya sebelas rakaat dan paling afdal mengakhir sembahyang malam seperti sembahyang tarawikh, sembahyang tahajjud dan sunat mutlak dengan sembahyang witir.

Sembahyang Isya boleh diakhiri dengan sembahyang witir dan mengikut kaul yang asaf tidak menjadi masalah melakukan sembahyang sunat walau pun selepas sembahyang witir.
4. Hadis riwayat Muslim, “Berwitirlah kamu sebelum bersubuh”. 

Hadis ini menjelaskan bahawa apabila masuk waktu Subuh habislah waktu witir.

5. Hadis riwayat Muslim, “Sesiapa yang bimbang tidak bangun di akhir malam hendaklah berwitir di awalnya dan sesiapa yang gemar bangun di akhirnya hendaklah berwitir di akhir malam, sesungguhnya sembahyang di akhir malam disaksikan oleh malaikat Allah dan itulah yang lebih afdal”.

Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan orang yang rajin sembahyang witir.

-  KULIAH YT

No comments:

Post a Comment