Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.
Para sahabat baginda bertanya,
‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?
Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar
dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana
habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar
r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan
padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh
kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah
Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya
meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari
adalah hari Arafah”.
Amalan
yang dianjurkan padanya:
1.
Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak
hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w: “Satu umrah ke umrah yang lain
menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik
(diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2.
Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada
hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik
dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis
qudsi, “Puasa
itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan
nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata kerana-Ku”.
Imam
Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun
yang lalu dan setahun yang mendatang.
3.
Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud,
(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum),
hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah.
Sebab
itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari
tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad, di antaranya, “Oleh
kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah
Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4.
Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik
dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca
kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan
pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5.
Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad,
membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya
kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan
yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah
dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti
berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik,
tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda
(kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia
cedera atau mati syahid).
6.
Disyariatkan bertakbir
pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas
menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah. Bagi mereka yang tidak
menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9
Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari
raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13
Zulhijjah.
7.
Disyariatkan amalan
korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq
(11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah
s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus
ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8.
Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda,
Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang
ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari
(memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia
memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.
Perintah
(sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan
ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan
oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah
haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah)
itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan
kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut
sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga
mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh
dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9.
Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah,
mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran
daripadanya. Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini.
Ia
merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula
dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan
maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab
kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10.
Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir,
bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri
kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Di
sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan
beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam.
Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah
serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w.
Antara
peristiwa tersebut adalah:
1. Nabi Muhammad s.a.w membawa
dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku
pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.
2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13
selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2
orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.
3.
Peperangan As Sawiq pada tahun kedua
Hijrah, nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan
memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka
mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya
tidak dapat diekori oleh baginda.
4.
Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu
kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh
Ibnu Abi Al ‘Arjak.
5.
Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada
tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.
6.
Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali
dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang
kesemuanya adalah peraturan dan atur cara kehidupan di dalam Islam.
7.
Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas
kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.
8.
Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom,
berakhir dengan kemenangan tentera Islam.
9.
Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang
tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di
Palestin.
10.
Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu
Lu’luah Al Majusi.
11.
Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh
sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.
12.
Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan
pada tahun 35 Hijrah.
13.
Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun
242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun,
pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.
No comments:
Post a Comment