Thursday, November 17, 2016

HAJI MABRUR



Haji Mabrur ialah haji yang diterima oleh Allah s.w.t iaitu mereka yang memelihara rukun haji, syarat haji dan memelihara adat-adat haji lahir dan batin antaranya tidak membuat dosa dan tidak berbalah masa mengerjakan haji.

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Dan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda sesiapa yang mengerjakan haji lalu dia tidak bercakap dengan percakapan yang lucah dan dia tidak mengerjakan perkara yang buruk nescaya baliklah dia sebagaimana hari dilahirkan oleh ibunya.” (adis riwayar Muslim.)

Hadis ini menjelaskan firman Allah Ta’ala: “Haji ialah pada bulan-bulan yang diketahui menunaikan haji itu wajib. Barangsiapa yang mengerjakan haji dia tidak boleh melakukan rofah, tidak boleh melakukan fasik dan tidak boleh berbalah.”

Mereka mengerjakan haji tidak buat rofah. Rofah ialah selalu bercakap-cakap mengenai wanita. Tengah mengerjakan haji bercakap perkara lucah. Ini boleh membatalkan pahala haji.

Tidak boleh bercakap perkara yang fasik. Fasik termasuk dosa-dosa kecil seperti melihat dan mendengar yang haram.

Tidak boleh berbantah dan berbalah masa melakukan haji. Bermacam-macam perangai manusia kita temui dan kita kena sabar dengan kerenah mereka.

Mengikut hadis bila sedang sembahyang ada orang hendak melintas di depan, kita boleh menghulurkan tangan menghalang daripada melintas. Sempadan sembahyang di kawasan tempat sujud sahaja. Jika orang melintas di depan pahala sembahyang menjadi kurang.

Sabda Rasulullah s.a.w. “Dan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda umrah sehingga umrah menghapuskan dosa di antara keduanya dan urHHuhaji yang mabrur tidak ada balasan melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

Hadis ini menyatakan kita membuat umrah tahun ini sehingga kita membuat umrah di tahun akan datang Allah Ta’ala menghapuskan dosa-dosa kecil yang dibuat di antaranya.

Adapun haji Mabrur tidak ada balasannya melainkan syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w. “Dan dari Aisyah r.a. katanya aku berkata wahai Rasulullah kami melihat berjihad ialah amalan yang paling afdal, adakah boleh kami orang perempuan berjihad sama? Jawab nabi s.a.w tetapi yang lebih afdal bagi orang perempuan ialah haji Mabrur.

Hadis ini menyatakan bahawa haji Mabrur lebih afdal daripada jihad. Para ulamak menafsirkan jihad di sini ialah jihad kifayah. Jihad ada dua iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Jihad fardu ain wajib atas tiap-tiap seorang apabila musuh menceroboh negeri kita dan pertarungan sudah berlaku. Apabila jihad fardu ain haji hendaklah ditangguhkan. Jihad yang disebut dalam hadis itu ialah jihad fardu kifayah.

Ibadat haji bukan sahaja mempunyai fadilat yang besar tetapi melahirkan sifat bertakwa kepada Allah. Ini kepada mereka yang mengerjakan haji Mabrur, haji yang diterima oleh Allah Ta’ala. Jika orang itu mengerjakan haji balik ke tanah tidak berubah, menandakan haji tidak membentuk peribadi, tidak mentarbiyah dirinya.

Haji Mabrur ini kelihatan keberkatannya iaitu mengubah wajah kehidupan daripada seorang yang tidak baik kepada seorang yang baik dari segi agama.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment