Tuesday, November 15, 2016

AMANAH MESTI DITUNAIKAN



Firman Allah Ta’ala surah an-Nisya: 

“Kata Allah sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya kamu menunaikan amanah dengan menyerah amanah itu kepada orang yang ahli, orang yang dapat menunaikannya.

Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan ulil amri (yakni mereka yang mengendailkan urusan kamu dengan Islam) di kalangan kamu. Sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah (yakni Quran) dan rasul (iaitu hadis Rasulullah SAW).

Jika sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya.”

Saya mengingatkan ayat tersebut kerana merupakan petunjuk daripada Allah SWT yang kini ditinggalkan oleh manusia termasuk orang-orang Islam sendiri.

Kita mengalami masalah negara, bukan sahaja masalah jenayah, masalah salah laku, keruntuhan akhlak yang menimpa rakyat termasuklah berbagai-bagai skendal yang melibatkan pemimpin. Tetapi banyak kita lupa dan lama kita sudah lupa skendal yang lepas-lepas. Kita ingat yang baru sahaja, 1MDB.

Dahulunya Michael Holding, KSWP, Perwaja, Tabung Haji dan duit Petronas semuanya mencapai angka billion. Cara menyelesaikan ialah Perdana Menteri berhenti, tetapi tidak selesai juga.

Cara menyelesainya pecat Timbalan Perdana Menteri, malangnya tidak selesai juga.

Di mana silapnya?

Silapnya ialah kita tidak menunaikan amanah dengan betul. Fahami amanah ini, bertukar orang atau tidak bertukar orang tidak menjadi masalah. Yang penting amanah mesti ditunaikan.

Malangnya kepada orang Melayu disebut amanah sekadar menyimpan duit dan mengirim barang. Itu sahaja amanah orang Melayu yang mengaku Islam.
Amanah disebut dalam Quran dan dalam hadis-hadis nabi SAW yang paling besar ialah amanah memimpin negara, amanah politik, amanah memerintah negara. Kepada Islam memerintah negara adalah satu amanah yang sangat besar.

Amanah yang disebut oleh Allah dalam Quran meliputi semua amanah menunjukkan besarnya perkataan amanah ini.

Firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya kami Allah telah membentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang supaya mereka bersedia untuk menerimanya, tiba-tiba makhluk yang besar itu enggan dan takut menerimanya.

Namun begitu manusia sanggup menerimanya. Sesungguhnya makhluk manusia itu sangat zalim lagi sangat jahil.” 

Para ulamak tafsir menghuraikan ayat ini dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar, mensyarahkan ayat ini apabila semua makhluk itu meminta penjelasan apa dia amanah.

Allah mangatakan amanah itu ialah melaksanakan perintah Allah, syariatnya, suruhannya dan meninggalkan larangannya. Sekiranya ditunaikan amanah selepas berlakunya alam kiamat balasannya syurga dan mertabatnya tinggi.

Sekiranya tidak ditunaikan amanah dihumban ke dalam neraka menyebabkan langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang takut dan gerun tidak bersedia untuk menerimanya.

Allah Ta’ala menciptakan manusia bermula dengan Adam AS, makhluk yang mempunyai keistimewaan berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain. Berbeza dengan malaikat, berbeza dengan jin, berbeza dengan binatang, berbeza dengan kayu dan batu serta makhluk-makhluk lain.

Manusia mempunyai jasad, mempunyai nyawa dan boleh bergerak tetapi tidak macam binatang kerana mempunyai akal. Manusia mempunyai ruh macam malaikat tetapi malaikat tidak ada jasad. Manusia hidup bersendiri dan hidup bermasyarakat.

Dengan sifat yang ada ini Allah Ta’ala menjadikan manusia makhluk yang boleh menunaikan amanah untuk beribadat kepada Allah macam makhluk yang lain dan untuk memakmurkan bumi, memerintah bumi, menakluk bumi sehingga makhluk manusia yang kecil ini boleh menjinakkan binatang buas yang besar seperti gajah.

Makhluk manusia yang kecil ini boleh mengendalikan kapal yang besar, mengendalikan kilang-kilang yang besar, boleh memerintah binatang, memerintah bukit-bukau dan gunung-ganang. Ini keistimewaan yang ada pada manusia dengan syarat manusia itu menunaikan perintah Allah SWT.

Beribadat dan memakmurkan bumi dengan adil. Adil untuk seluruh manusia walaupun Allah SWT mewajibkan Islam satu-satunya agama yang diiktiraf:

“sesungguhnya diin di sisi Allah ialah lslam” 

tetapi Allah melarang kita memaksa penganut agama lain masuk Islam. 

Firman Allah Ta’ala: 

“Wahai manusia sesungguhnya kami telah menjadikan kamu asalnya daripada seorang lelaki iaitu Adam dan Hawa, dijadikan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya berta’aruf, yang paling mulia ialah yang paling bertakwa kepada Allah.”

Allah Ta’ala maha mengetahui mengenai urusan kamu. Manusia tidak boleh hidup dengan satu masyarakat sahaja, satu bangsa sahaja, mesti bermasyarakat madani. Allah Ta’ala jadikan tiap-tiap keperluan itu mesti berhubung antara satu sama lain.

China tidak boleh hidup dengan China sahaja. India tidak boleh hidup dengan India sahaja. Arab tidak boleh hidup dengan Arab sahaja. Melayu tidak boleh hidup dengan Melayu sahaja. 

Manusia mesti bermasyarakat madani bertukar-tukar hasil dan kemampuan di antara satu sama lain yang merupakan sifat semula jadi yang diatur oleh Allah.
Allah Ta’ala lahirkan nabi-nabi dan rasul-rasul tiap-tiap kaum dan tiap-tiap zaman. Pada akhir zaman Allah Ta’ala mengutuskan seorang rasul sahaja.

Dunia zaman ini mempunyai kemajuan sains dan teknologi. Dengan sedikit ilmu yang diberi kepada manusia, berbagai-bagai kenderaan diciptakan yang membolehkan mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan cepat.

Manusia dapat menciptakan alat-alat perhubungan seperti telefon, internet dan lain membolehkan manusia berhubung dengan mudah dan cepat. Jadi dunia mendapat maklumat dengan segera maka cukup di akhir zaman dengan seorang rasul sahaja iaitu nabi Muhamad SAW dan kitab suci al-Quran menjadi mukjizat ilmu.

Al-Quran adalah mukjizat kepada semu ilmu dunia dan akhirat.

Semua manusia sama ada orang Islam dan bukan Islam percaya kepada Allah

Firman Allah Ta’ala: 

“Jika engkau tanya mereka siapa yang menciptakan langit dan bumi mereka jawab Allah dengan bahasa masing-masing.”

Namun aqidahnya berbeza. Ada yang menganut tauhid dan ada yang syirik, tetapi percaya kepada Allah menjadi fikrah.

Termasuklah kenabian Ibrahim AS. Orang Islam menyebut Ibrahim, orang Kristian dan orang Eropah menyebut Abraham dan orang Hindu menyebut Brahma. Sebutan ini adalah mengikut kitab masing-masing yang berbeza kepercayaan.

Allah menyuruh Islam memerintah negara yang diasas oleh nabi Muhamad SAW.

Setelah gagalnya empayar Farsi dan Rome, kuasa besar dunia masa itu, gagalnya agama Syamawi yang sudah diselewengkan, Islam datang dibawa oleh nabi Muhamad SAW memerintah negara di Madinah, negara masyarakat majmuk yang ada di dalamnya orang Islam, orang Yahudi dan Kristian, musyrikin, penyembah berhala dan majusi, penyembah api.

Allah mengatakan:

“Ibrahim bukan Yahudi, bukan Kristian, Ibrahim adalah Muslim dan bukan musyrib, menganut agama tauhid yang suci dan bersih. Ini menunjukkan penganut agama yang berbagai-bagai ini bukan sahaja menerima Allah, mereka menerima Ibrahim, Abraham dan Brahma”

Nabi kita Muhamad SAW mengambil pendekatan memerintah masyarakat majmuk, mengajak mereka masuk Islam. Siapa yang mahu sila masuk, siapa yang tidak mahu kena tunduk di bawah pemerintahan Islam dan kena menerima hukum-hukum Islam termasuk hukum qisas dan hudud.

Ada orang bukan Islam yang mahu bertahaluf kerana tidak menerima hukum qisas dan hudud.
Allah menurunkan tiga puluk juzuk al-Quran. Setelah memerintah sepuluh tahun Allah mematikan nabi Muhamad SAW.

Quran yang sempurna menjadi pusaka dan para sahabat memerintah negara silih berganti selepasnya dan pemerintahan Islam berkembang luas daripada India, Asia Tenggara di sebelah timur, Sepanyul dan Afrika Barat di sebelah barat, Asia tengah di sebelah utara dan Afrika tengah di selatan.

Zaman tiada telefon, internet dan tidak ada kapal terbang perjalanan yang jarak berbulan-bulan lamanya. Namun Islam boleh memerintah negara yang besar dan rakyat yang bukan Islam menerima pemerintahan Islam.

Islam memerintah lebih dari seribu tiga ratus tahun.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment