Wednesday, November 9, 2016

KEMANISAN IMAN




Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dari Anas RA dari nabi SAW sabdanya tiga perkara sesiapa yang ada pada dirinya ketiga-tiga perkara ini nescaya dia mendapati kemanisan iman. 

Yang pertama bahawa Allah dan Rasul-Nya terlebih kasih kepadanya daripada yang lain.
Kedua dia tidak mengasihi seseorang melainkan kerana Allah. Yang ketiga dia benci kembali kepada kufur sebagaimana benci kalau dicampak ke dalam api.”

Hadis ini menunjukkan bahawa iman itu mempunyai tanda-tandanya yang disebut dengan kemanisan. Tidak ada erti pada gula kalau tidak ada manis, tidak ada erti pada garam kalau tidak ada masin. Tidak ada makna pada lada kalau tidak ada pedas. Begitulah iman mempunyai tanda-tanda. 

Barang siapa yang ada padanya ketiga-tiga perkara menanda imannya ada dan imannya kuat. 

1. Kasih kepada Allah dan Rasul lebih daripada yang lain termasuk dirinya sendiri. Kerana yang menentukan selamatnya di dunia dan akhirat ialah kepercayaannya kepada Allah dan Rasul. Bukan sahaja dia mengucap: 

ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHAMMDAN RASULULLAH bermakna aku naik saksi mengaku bahawa tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Muhamad itu Rasulullah. Dalam masa yang sama mestilah ada kepercayaan di dalam hatinya.

Antara tanda kepercayaan itu ialah kasih kepada Allah dan kasih kepada Rasulullah SAW. 

Al-Quranul Karim mengatakan kasih kepada Allah itu ialah: “Katakanlah wahai Muhamad SAW jika sekiranya kamu mengasihi Allah ikutlah aku, ikutlah nabi Muhamad SAW nescaya Allah mengasihinya dan Allah mengampunkan dosa-dosanya dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Para sahabat RA adalah contoh yang terbaik manusia yang kasih kepada Allah dan kasih kepada Rasulullah SAW. Mereka itu bukan sahaja mengucap dua kalimah syahadah menjadi orang-orang Islam dalam masa yang sama mereka mengikut apa sahaja yang dinyata dan diperintah oleh Rasulullah SAW walaupun perintah dan suruhan itu mengorbankan diri dan harta benda. Contohnya, mereka ikut perintah berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana tidak cukup bagi orang Islam itu Islam dirinya sahaja tetapi dalam masa yang sama Islam itu hendaklah ditegakkan di dalam masyarakat sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Oleh kerana Mekah tidak diizinkan untuk melaksanakan syariat Allah dan adanya orang-orang Madinah yang sudah masuk Islam dikenali dengan golongan Ansar bukan sahaja menjemput Rasulullah SAW ke Madinah tetapi menyerahkan diri mereka, menyerahkan harta mereka dan menyerahkan tanah air mereka kepada Rasulullah SAW untuk melaksanakan syariat Allah SWT.

Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah Ta’ala: “Dan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah sanggup meninggalkan Mekah, meninggalkan harta dan keluarga sementara waktu dan sanggup berjihad mengorbankan harta benda dan diri kerana menegakkan agama Allah SWT.” 

Orang-orang Madinah memberi perlindungan dan pertolongan kepada saudara-saudara mereka yang berhijrah dengan menyerah diri, harta bagi menolong nabi SAW dan sahabatnya datang ke Madinah untuk melaksanakan Islam, mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya. 

Bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia daripada Allah. Harta yang ditinggalkan di Mekah akan diganti oleh Allah dengan harta yang lain, rezeki yang berkat daripada Allah SWT. Mereka menyatakan kecintaan itu dengan menunjukkan ikutan yang sebenar kepada Allah dan Rasulullah SAW.

2. Kita tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah.

Hubungan keluarga dan anak-beranak yang dikenali dengan silatur rahim dan hubungan sesama manusia kerana semua manusia daripada keturunan Adam AS. Kita disuruh kasih sesama manusia, kita disuruh mengadakan hubungan silatur rahim dengan keluarga dan sanak saudara kita, Dalam masa yang sama kita disuruh kasih sesama yang beriman.

Di dalam ketiga-tiga perkara ini kecintaan kepada Allah adalah mengatasi segala yang lain. 

Sekiranya keluarga bercanggah dengan Islam atau pun manusia itu bercanggah dengan Islam maka Islam hendaklah diutamakan, mendahului daripada segala-galanya, kerana Islamlah yang menyelamatkan kita dari dalam kubur sehingga hari akhirat. 

Manusia yang sayang kepada kita hanya sanggup menghantar di tepi lubang kubur sahaja dan tidak sanggup dikambus sama dalam kubur. Oleh kerana itu maka kecintaan kerana Islam, kepada Allah dan kerana Allah hendaklah mengatasi segala yang lain. Saudara yang beriman mendoa untuk kebaikan kita daripada dunia hingga hari akhirat. 

Adapun hubungan keluarga semata-mata, hubungan kemanusian semata-mata tanpa landasan kerana Allah maka sekadar itulah sahaja.

3. Setelah menjadi orang beriman kita sayang kepada iman dan takut menjadi kufur, benci menjadi kufur kerana kufur itu celaka yang paling besar dan neraka selama-lama di hari akhirat. 

Oleh sebab itu kita mesti sayang kepada iman, sayang kepada Islam dan benci kepada kufur dengan menjaga diri daripada kekufuran: menjaga lidah kita, menjaga perbuatan kita, menjaga hati kita supaya tidak terjun ke dalam kekufuran kerana kekufuran itu membawa celaka di dunia dan neraka pada hari akhirat. 

Maka kita benci kepada kufur sebagaimana kita benci kalau kita dicampak ke dalam api yang dinyalakan apatah lagi api yang dinyalakan itu api neraka pada hari kiamat.
Di sinilah kita diajar bila disebut murtad kita kata NA’UZUBILLAHI MINZALIK WAL’IYA ZABILLAH – minta pelindungan dengan Allah daripada menjadi kufur

KULIAH SUBUH YT

No comments:

Post a Comment