Tuesday, November 15, 2016

MALAIKAT DAN MAJLIS ILMU



Sabda Rasulullah SAW: 
 
“Tidaklah berkumpul oleh suatu kaum pada satu rumah daripada rumah Allah (masjid) mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunlah kepadanya ketenangan para malaikat melingkungi mereka dan mereka diliputi rahmat Allah menyebut mereka termasuk di kalangan orang yang di sisinya.”

Hadis ini menyatakan kelebihan majlis ilmu terutama majlis ilmu di masjid-masjid. Masjid adalah rumah Allah di tempat hamab-hamba-Nya beribadat kepada Allah Ta’ala. Majlis ilmu adalah satu kebiasaan agama terutamanya majlis membaca kitab Allah iaitulah al-Quranul Karim. 

Al-Quran bukan sahaja dibaca tetapi membetulkan bacaannya dan mempelajari hokum-hakam yang ada dalam kitab Allah. Ini menunjukkan bahawa Quran bukan sahaja dibaca tetapi di dalamnya ada petunjuk daripada Allah Ta’ala dan arahan daripada Allah Ta’ala.

Ada orang baca sahaja tidak berusaha untuk mengetahui maknanya. Jadi tidak tahu mana ayat azab dan mana ayat nikmat. Tempat ayat azab pun suka juga. Tempat ayat-ayat mengenai arahan Allah Ta’ala buat tidak kisah kerana tidak tahu makna.

Ini menunjukkan betapa pentingnya kita memahami kitab Allah itu yang menjadi petunjuk kepada kita sebagaimana yang kita minta dalam tiap-tiap rakaat sembahyang: “Tunjuklah kepada kami jalan yang betul.” 

Lepas itu: “Kitab Quran ini tidak syak lagi memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.”
Kalau tidak tahu makna bagaimana hendak tahu petunjuk. Jadi kita hendaklah membaca dengan betul dan tahu maknanya serta faham tujuannya.

Sahabat-sahabat mendengar ayat-ayat al-Quran untuk mendapat arahan. Kita hari ini dengar sahaja. Kalau dengar sahaja jadilah macam orang Yahudi SAMIKNA WAATAINA:
“Kami dengar tetapi kami tidak mahu ikut.” 

Kita orang Islam SAMIKNA WAATAKNA:
“Kami dengar dan kami taat.”

Al-Quran memberi contoh sikap orang Yahudi dan sikap orang Islam yang beriman.

Sabda Rasulullah SAW: 

“Sesungguhnya malaikat merendahkan sayap mereka kepada penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dia lakukan.”

Malaikat menghormati orang-orang yang menuntut ilmu. Bila mereka hadir majlis menuntut ilmu malaikat merendahkan sayap mereka kerana menghormati orang yang menuntut ilmu.
Ilmu yang paling besar ialah ilmu agama daripada Allah Ta’ala yang disebut dalam Quran, diajar oleh nabi SAW dan disampaikan oleh para ulamak.

Menuntut ilmu agama tersangat penting kerana hadis mengatakan: 

“Iblis lebih mudah menipu seratus orang tok lebai (ahli ibadat yang tidak berilmu) daripada menipu seorang yang berilmu.”

Ini menunjukkan betapa pentingnya kita menuntut ilmu. Jika seseorang itu kuat Islam, zikir banyak tetapi ilmu tidak dituntut menyebabkan dia beramal tidak dengan ilmu amalanya mungkin tidak betul. Belajar ilmu fekah tetapi ilmu tasauh tidak belajar. Belajar tasauh, fekah dan akidah tidak belajar. 

Di sinilah dalam hadis malaikat bertanya Rasulullah SAW tiga perkara: 

“Apa dia Islam, apa dia iman dan apa dia ihsan?” 

Nabi menjawab kesemua soalan itu yang merupakan cabang ilmu Islam yang wajib ke atas orang Islam lelaki dan perempuan. Sekurang-kurangnya mengetahui rukun iman dan perkara yang membatalkan iman. Perlu juga mengetahui hukum-hukum fekah dan hukum-hukum mengenai ikhlas (tasawuf). 

Jika kita beramal tanpa ilmu iblis masuk menyebabkan amalan kita menjadi sia-sia. Sekurang-kurangnya syaitan memasukkan perasaan waswas di dalam hati.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment