Wednesday, November 9, 2016

PENGAJARAN DARI RAMADAN



Firman Allah Ta’ala: “Bulan Ramadan diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, keterangan-keterangan daripada petunjuk bagi membezakan perkara yang betul dan perkara yang salah.”

Nabi SAW menyebut bulan Ramadan ada tiga peringkat: “Permulaan bulan Ramadan ialah rahmat, pertengahannya diampunkan dosa dan penutupnya dimerdehkakan daripada api neraka.”

Peringkat ketiga ialah bebas dari api neraka. Kelebihan bulan Ramadan tidak boleh dicapai melainkan kita memenuhi syarat-syaratnya

Syarat-syaratnya dinyatakan dalam surah yang pendek: “Demi masa sesugguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman yang percaya kepada Allah, percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada semua perkara yang menjadi rukun iman, yang mengerjakan amal soleh, berpesan-pesan dengan perkara yang benar dan berpesan-pesan supaya sabar.”

Hanya mereka yang dapat memenuhi ketiga-tiga syarat itu baharulah dimerdehkakan dari Api neraka.

Allah Ta’ala memilih manusia daripada makhluk-makhluk yang lain dengan kelebihan yang berbeza yang diberi kepada manusia. Dengan kelebihan itu Allah Ta’ala meletakkan manusia di atas muka bumi berbeza dengan binatang, berbeza dengan pohon kayu.

Firman Allah Ta’ala: “Adakah kamu fikir Kami jadikan kamu begitu sahaja padahal kamu tidak dipanggil balik kepada kami.”

Jangan fikir tuhan jadikan kita dilahirkan daripada perut ibu, makan minum, besar dan tunggu mati sahaja. Bukan sekadar begitu sahaja. Manusia mempunyai tugas di atas muka bumi Allah. Allah Ta’ala akan memanggil balik manusia.

Dimatikan, disoal oleh malaikat dalam kubur, dihidupkan semula dan kemudian dikira segala perbuatan dan perangainya seterusnya sama ada dimasukkan ke dalam syurga atau pun neraka.

Manusia mempunyai tugas yang besar, tugas untuk beribadat kepada Allah Ta’ala, tugas untuk memakmurkan bumi dan tugas untuk menjalankan hukum Allah Ta’ala.

Firman Allah Ta’ala: “Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu menyembah aku, mengabdikan diri kepada Aku.”

Firman Allah Ta’ala: “Dan ingatlah apabila tuhan mu berfirman kepada malaikat sesungguhnya Aku hendak jadikan di atas muka bumi makhluk manusia bermula dengan Adam supaya mereka menjadi khalifah dengan makna mereka mentadbir makhluk-makhluk yang lain yang ada di atas muka bumi.”

Mereka tadbir pohon kayu, ikan di laut, binatang-binatang dan benda-benda yang ada di atas muka bumi serta mentadbir sesama mereka sendiri dengan hukum Allah Ta’ala.

Firman Allah Ta’ala: “Sesunggunya kami telah mempamirkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang semua gerun dan takut tidak mahu memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi sangat jahil kecuali mereka yang mengikut nabi SAW yang membawa ajaran daripada Allah Ta’ala.”

Allah Ta’ala pilih kita manusia orang Islam, pengikut nabi Muhamad SAW diajar kita dengan bulan Ramadan. Di waktu siang hari kita dilarang makan minum, dilarang melepaskan hawa nafsu walaupun perkara-perkara ini dibenarkan pada bulan yang lain.

Makan minum adalah rukun hidup. Jika tidak makan dan minum mati. Jika mati dengan sebab tidak makan dan minum dan makanan serta minum ada maka berdosa. Wajib makan minum untuk menjaga nyawa.

Wajib bekerja untuk mencari rezeki menunjukkan makan minum, pakaian dan lain-lain adalah penting bagi manusia. Tetapi di bulan Ramadan Allah Ta’ala melarang kita makan dan minum kerana hendak mengajar kita bahawa makan minum bukan matlamat hidup kita.

Kita ada tugas di hadapan Allah Ta’ala.

Tuhan yang memberi rezeki kepada kita. Ada orang makanan sudah ada di dalam mulut tiba-tiba muntah kerana Allah Ta’ala tidak izin makanan itu menjadi rezekinya. Jika benda itu menjadi rezekinya walaupun benda itu duduk jauh di Amerika, di negeri China atau duduk di dalam laut tuhan bawa bertemu dengan kita dengan cara yang diatur oleh Allah Ta’ala. Ini menunjukkan rezeki daripada Allah Ta’ala.

Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah jika sekiranya air kamu boleh mengambil dengan mudah, buka paip keluar air dan kali telaga keluar air, kalau Aku jadikan air itu tiada, tiada siapa yang boleh membawa air melainkan Allah SWT. Setiap denyut nadi kita adalah diberi oleh Allah Ta’ala.”

Firman Allah Ta’ala: “Allah yang tiada tuhan melainkan Dia yang hidup selama-lamanya yang berdiri dengan sendirinya, yang tidak berhajat kepada yang lain, yang tidak mengantuk dan tidak tidur.”

Itulah Allah yang memberi nyawa kepada kita pada masa kita jaga dan pada masa kita tidur. Masa kita tidur kita tidak tahu apa Allah Ta’ala yang menolong kita. Allah Ta’ala boleh mengambil nyawa masa itu, jadi tidur dan mati terus.

Itu adalah pemberian Allah Ta’ala. Maka diajar supaya bersyukur kepada Allah Ta’ala, antaranya kita mengerjakan ibadat puasa supaya kita menjadi orang bertakwa kepada Allah, yang bersyukur kepada Allah.

Firman Allah Ta’ala: “Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan hari puasa dan masa puasa mengikut jamnya dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah: “Allah yang Maha Besar.” Bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang diberi kepada kamu.”

Allah yang menugaskan manusia di atas muka bumi menjalankan kerja dengan diturunkan al-Quranul Karim. Dalam Quran ada petunjuk mengajar manusia bagaimana makan minum, bagaimana pakai pakaian, siapa tuhan yang sebenar, bagaimana hendak menyembah Allah, bagaimana hendak bergaul antara lelaki dan perempuan, bagaimana hendak berniaga, bagaimana hendak membuka tanah, bagaimana hendak memerintah negara dan undang-undang serta peraturan semuanya ada dalam Quran.

Quran diturunkan dalam bulan Ramadan untuk mengajar kita segala-galanya. Quran adalah daripada Allah Ta’ala. Jadi kita ikut arahan dan petunjuk yang ada dalam Quranul Karim. Quran mesti diamalkan. Jika tidak diamalkan maka jadi rusak.

Jika kereta yang sepatututnya memakai minyak disel kita pakai minyak petrol maka injin kereta akan rosak kerana tidak mengikut arahan kilang yang membuat kereta itu.

Tuhan yang menjadikan kita membuat peraturan ini halal dan ini haram. Semua yang halal adalah baik dan semua yang haram membawa penyakit dan merosak diri kita sendiri. Rusak atas dunia bermakna tuhan marah dan di akhirat disumbat dalam nereka.

Untuk membolehkan peraturan Allah Ta’ala dilaksanakan maka Allah Ta’ala mewajibkan ada kerajaan Islam yang memerintah mengikut al-Quran. Nabi kita Muhamad SAW yang menerima al-Quran di Mekah bukan sahaja mengajak orang-orang Mekah masuk Islam dan mengajak pemimpin-pemimpin Mekah supaya memerintah negeri Mekah dengan hukum al-Quranul Karim.

Tiba-tiba puak-puak Abu Jahal kata Muhamad ini hendak menjadi ketua, dia hendak wang, dia hendak benda.

Perangai Abu Jahal ada sampai sekarang. Bila diajak ikut Islam mereka berkata bukan apa kerana hendak pangkat, hendak jawatan dan hendak kekayaan.

Begitulah tuduhan Firaun kepada Musa AS. Itulah juga tuduhan Abu Jahal kepada nabi Muhamad SAW.

Bila mereka tidak tahan berhujah dengan nabi SAW lalu mereka bermuafakat untuk mengangkat nabi menjadi raja di Mekah dan memberi harta kekayaan. Tujuan bukan memerintah mengikut Quran tetapi mengikut hawa nafsu mereka.

Arak boleh diminum, berjudi boleh, berzina boleh, boleh sembahyang dan tidak hendak sembahyang pun boleh. Semua boleh. Jangan kisah apa yang hendak dilakukan. Inilah fahaman di kalangan sesetengah orang pada hari ini. Ini bukan cara tuhan tetapi cara syaitan. Kalau hendak masuk neraka ikut cara ini.

Nabi kita SAW telah menolak tawaran menjadi raja dan menolak kekayaan yang hendak diberi oleh puak-puak Abu Jahal. Makin lama makin ramai orang menyokong nabi SAW yang terdiri daripada orang muda-muda, orang miskin dan orang-orang yang benci dengan kejahatan. Jadi mereka bimbang dengan keadaan itu. Jika nabi menang mereka tidak boleh minum arak, mereka tidak boleh membuat maksiat. Lalu mereka bertindak dengan menyiksa sahabat-sahabat nabi, membunuh orang-orang yang mengikut nabi dan mereka bermesyuarat hendak membunuh nabi SAW.

Untuk menyelamatkan diri nabi dan sahabat mencari tempat lain daripada Mekah. Perlu kita faham mereka yang melawan nabi masa itu bukan orang China, bukan orang India atau bukan orang putih tetapi mereka ialah orang Arab.

Arab lebih baik daripada Melayu kerana Arab ialah bangsa nabi SAW dan Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Walaupun begitu jika orang Arab tidak ikut Islam Arab masuk neraka. Begitulah orang Melayu jika tidak ikut Islam jahnam dalam neraka juga.

Oleh kerana ramai penduduk Mekah lawan nabi maka nabi mencari orang yang sanggup menyokong dan berjuang dengan dia serta sanggup mati dengan dia. Nabi bertemu dengan puak-puak Arab datang ke Mekah yang hendak mengerjakan haji walaupun mereka jahat dan kafir tetapi haji dia tidak tinggal. Haji adalah amalan yang diajar oleh nabi Ibrahim AS.

Abu Jahal dan Abu Lahab adalah tok haji. Tiap-tiap tahun buat haji dan duduk dekat Ka’abah tetapi melawan tuhan dan melawan nabi SAW.

Jika buat umrah tiap-tiap tahun atau acap kali tetapi melawan tuhan samalah dengan Abu Jahal dan Abu Lahab.

Nabi mencari pemimpin Arab  yang pergi ke Mekah untuk mengajak mereka masuk Islam dan menyerah harta dan tanah air bagi mendirikan kerajaan Islam. Ada puak yang tidak sanggup daripada awal lagi.

Ada puak daripada Bani Amir minta nabi berjanji jika Islam menang apa ganjarannya. Nabi kata aku akan beri kepada kamu mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah. Kalau begitu kami tidak akan sokong.

Nabi bertemu pula dengan pemimpin Syaiban. Pemimpinnya ingin tahu apa dia Islam. Nabi kata: Islam ialah agama Allah Ta’ala, agama yang baik yang mengajar perkara yang baik dan berlawan dengan perkara yang jahat. Hukum yang adil kerana petunjuk daripada Allah Ta’ala.”

Kata mereka: “Ini ajaran yang bagus tetapi kami takut kerana Islam ini luar biasa, seluruh dunia menolak Islam, kalau ikut Islam seluruh dunia akan menyerang Islam.”

Lalu nabi kata: “Tidak mengapalah. Islam akan menang, akan tiba masanya Islam akan menang. Allah Ta’ala berjanji memberi kemenangan kepada Islam.”

, YAHUDI,
Firman Allah Ta’ala: “Allah berjanji kepada orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta berjuang untuk meninggikan Islam akan diberi kuasa memerintah di atas muka bumi sebagaiman Allah Ta’ala beri kepada umat-umat zaman dahulu yang menenang dan memerintah walaupun berjuang selama ribu tahun. Allah Ta’ala hendak uji sekian lama dan akhirnya diberi kemenangan.

Allah jadikan Islam ini diredha berkuasa dan ketakutan ditukar kepada keamanan. Bila diperintah dengan hukum Allah negara akan aman dan barang siapa yang kufur selepas itu mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Tetapi Bani Syaiban kata: “Takut.”

Akhirnya nabi bertemu dengan orang Madinah. Orang Madinah bergaul dengan orang Yahudi yang berkumpul di Madinah kerana mereka menuggu kezahiran nabi akhir zaman. Nabi-nabi zaman dahulu memberitahu kepada umat masing-masing bahawa akan zahir sebelum kiamat seorang rasul yang diutuskan kepada seluruh dunia. Dan rasul ini akan menang.

Tuhan menyebut dalam Quran: “Dan ingatlah apabila nabi-nabi zaman dahulu berkata kepada pengikut-pengikut mereka akan tiba masanya di akhir zaman tuhan akan utus seorang rasul iaitulah rasul akhir zaman.

Bila rasul tiba kamu percayalah kepada rasul ini, ikut rasul ini dan berjuang bersama rasul ini. Lalu pengikut-pengikut nabi berikrar di hadapan nabi-nabi masing-masing.”

Lalu orang Yahudi hendak tunggu nabi akhir zaman tetapi bila dipilih daripada bangsa Arab orang Yahudi merajuk dan tidak beriman dengan nabi Muhamad. Mereka fikir memilih nabi macam memilih wakil rakyat, memilih presiden. Nabi-nabi Allah yang pilih, Allah yang lantik bukan manusia.

Allah memilih nabi Muhamad yang berketurunan nabi Ibrahim yang dihantar ke Mekah, bumi yang kering kuntang, tidak ada hasil, untuk mengajar manusia bahawa Islam bermula di bumi yang kering boleh menakluk dunia seluruhnya.

Orang Madinah yang mendengar cerita daripada orang Yahudi masuk Islam bila bertemu dengan nabi. Mereka bukan sahaja masuk Islam tetapi berjanji hendak berjuang, hendak menyerah harta dan sanggup mati menentang musuh-musuh Islam.

Maka nabi berpindah ke Madinah dan mendirikan kerajaan Islam di Madinah. Setelah Islam memerintah orang kafir di sekeliling semanjung tanah Arab menyerang Madinah maka berlakulah peperangan Badar di bulan Ramadan. Nabi menyerang balas membebaskan Mekah juga pada bulan Ramadan.

Ini adalah pengajaran di bulan Ramadan yang kita kena faham bagaimana Allah Ta’ala pilih perkara ini berlaku di bulan Ramadan.

Bulan Ramadan juga berlaku peristiwa Anjalut. Anjalut ialah apabila orang-orang Islam yang sudah menang leka, lalai dengan kesenangan dan kemewahan pada zaman kerajaan Abasiyah. Mereka diserang oleh kaum Tartar yang dipimpin oleh Holako, cucu kepada Genggis Khan. Mereka ganas dan menyerang Baghdad dan mereka mara ke seluruh dunia dan tidak siapa yang berani melawannya.

Pusat kerajaan Islam di Baghdad jatuh. Tentera Tartar membunuh berjuta-juta rakyat di Baghdad lebih dahsyat daripada Amerika dan sekutunya yang menyerang Iraq. Darah mengalir di lorong-lorong Baghdad dan bau mayat hilang dalam masa empat tahun. Kitab-kitaab Islam dipunggah dan dibakar.

Kaum Tartar memaksa orang Islam meninggalkan ajaran Islam tetapi Allah Ta’ala memelihara agama Islam. Agama Islam tidak boleh dihapus walaupun komunis menakluk negeri orang Islam, komunis jatuh dan Islam zahir semula.

Di Sepanyul Islam jatuh tetapi Agama Islam balik semula. Begitulah kaum Tartar yang menakluk Baghdad tiba-tiba pada bulan Ramadan berlaku peperangan Anjalut apabila tentera Mesir bergabung dengan tentera Syam mengalahkan kaum Tartar di bulan Ramadan dan mereka menyerah kalah.

Mereka yang ganas ini bukan sahaja menyerah kalah tetapi mereka masuk Islam dan menubuhkan kerajaan Monggol di India yang membina tamadun Islam di India. Ini hebatnya Islam.

Islam tidak boleh dimatikan. Orang yang tidak ikut Islam akan rusak. Tuhan kata: “Jika sekiranya kamu tidak ikut Islam kamu yang masuk neraka. Islam dipelihara oleh Allah dan tuhan ganti kaum lain yang akan masuk Islam dan melaksanakan Islam.”

Ini jaminan daripada Allah Ta’ala iaitu Islam dipelihara. Alhamdulillah kita menjadi orang Islam dan kita hendaklah menjadi orang Islam yang setia, orang Islam yang hendak meninggikan agama Islam bukan hendak merendahkan agama Islam. Orang Islam yang setia mesti sanggup lawan musuh-musuh Islam.

Bulan Ramadan mengajar kita supaya menjadi orang yang sabar, orang yang bersyukur dan bersemangat walaupun dalam keadaan lapar tetapi ruh dan semangat kita kuat.

KULIAH SUBUH YT

No comments:

Post a Comment