Monday, November 7, 2016

RAMADAN DAN PUASA RAMADAN (B)




Orang kata tujuan membaca ialah untuk boleh pahala. Betul boleh pahala. Tujuan membaca Quran hendak mendapat berkat. Betul hendak mendapat berkat. Tetapi sebab yang besar Allah Ta’ala menurunkan al-Quran itu ialah untuk menunjukkan manusia kepada jalan yang betul, jalan yang benar. 

Keterangan-keterangan dalam Quran bermacam-macam hukum, macam-macam peraturan dan manusia mesti mengambil petunjuk daripadanya. Allah Ta’ala pilih Quran diturunkan pada bulan Ramadan kerana bulan Ramadan bulan yang mulia. Oleh itu Allah Ta’ala pilih bulan Ramadan diwajibkan berpuasa. 

Apabila kamu menyaksikan bulan Ramadan sama ada kamu melihat sendiri anak bulan atau pun ada saksi yang adil, seorang pun sudah mencukupi maka wajib berpuasa. Para ulamak mengatakan boleh juga menggunakan hisab untuk menentukan anak bulan. Sebaik-baiknya kedua-dua sekali, melihat anak bulan dan hisab. 

Dalam hadis, nabi Muhamad SAW bersabda, ”Islam adalah mengucap dan percaya bahawa tiada tuhan yang sebenar kecuali Allah dan Muhamad itu utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji di Mekah apabila mampu”. Hadis diriwayatkan oleh Muslim.

Hadis ini menyatakan seorang Islam itu mestilah menunaikan rukun-rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji di Mekah. Jadi disebut salah satu daripadanya ialah berpuasa di bulan Ramadan.

Bulan Ramadan mempunyai kelebihannya yang tersendiri selain menjadi pilihan kewajipan puasa bagi orang Islam ia juga dipilih dalam sejarah penurunan al-Quran.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud, “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran”.  Allah menyatakan kelebihan bulan Ramadan kerana dipilih bagi menurunkan al-Quran.

Al-Quran diturunkan daripada Baitul Izzah di Luth Mahfuz secara keseluruhan lalu diturunkan ke langit dunia secara berperingkat-peringkat dibawa oleh Jibril kepada Rasulullah SAW.

Para ulamak meriwayatkan al-Quran tidak diturunkan kepada nabi Muhamad SAW secara keseluruhan dalam satu masa. Ia disampaikan secara sedikit demi sedikit berdasarkan sebab diturunkan dan keperluan perlaksanaannya pada zaman itu. 

Allah maha bijaksana kerana tujuannya ialah supaya perlaksanaan dan didikan lebih berkesan. Ia mengambil masa dua puluh tiga tahun bagi menyempurnakan. 

Quran diturunkan kepada nabi Muhamad SAW dalam dua merhalah iaitu marhalah Makiyah dan marhalah Madaniyah. Makiyah ialah ketika Rasulullah SAW berada di Mekah berjuang mengajak orang kepada Islam. 

Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah kebanyakan ayat menerangkan berkenaan dengan akidah, berkenaan dengan ibadat untuk menguatkan akidah berkenaan dengan kisah-kisah umat zaman dahulu berjuang untuk menegakkan akidah tauhid dan menceritakan berkenaan dengan hari akhirat. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment