Monday, November 7, 2016

RAMADAN DAN PUASA RAMADAN (C)




Setelah iman kuat maka diperintah berhijrah ke Madinah, mendirikan kerajaan Islam di Madinah. Bila kerajaan Islam didirikan timbullah masalah bagaimana hendak menghukum pencuri. Maka datanglah ayat menyuruh kerat tangan. Turun ayat berkait dengan zina, berkait dengan minum arak, berkait dengan peperangan dan perdamaian, perniagaan dan sebagainya. 

Allah Ta’ala menurunkan ayat-ayat itu dengan dilakukan sebab-sebabnya. Maka nabi membuat mengikut ayat itu. Jika ayat tidak turun Allah Ta’ala ilhamkan kepada nabi dan nabi menyampaikannya. Jika tidak ada maka nabi bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya berdasarkan perkara-perkara tertentu yang diketahui oleh Allah Ta’ala.
Para sarjana Islam melaporkan kitab-kitab langit terdahulu seperti Zabur, Taurah dan Injil juga diturunkan pada bulan Ramadan. Ini menunjukkan bulan Ramadan mempunyai rahsia dan kelebihan yang lebih besar daripada bulan-bulan lain. 

Hadis nabi Muhamad SAW menyatakan kelebihan Ramadan. Baginda SAW bersabda apabila tiba bulan Ramadan segala pintu rahmat dibuka dan pintu neraka ditutup dan diikat segala syaitan.

Kenapa ada juga yang membuat maksiat? Kerana dia sendiri yang melepas ikatan. Dia sendiri yang membuka pintu neraka baginya.

Nabi Muhamad SAW bersabda maksudnya, “Ramadan tiba menemui kamu sebagai bulan yang diberkati Allah yang maha megah dan maha agong mewajibkan berpuasa pada bulan ini, dibuka padanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan penderhaka. Di dalamnya berlaku malam al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil kebaikannya maka dia diharamkan daripada mendapat kebaikannya”. Hadis riwayat an-Nasaii

Hadis menyatakan bulan Ramadan adalah bulan yang sangat mulia, bulan yang diberkati oleh Allah Ta’ala dan pada bulan ini ibadat puasa diberikan pahala yang sangat besar. Pada bulan ini dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggukan. Bulan ini juga Allah Ta’ala menghadiahkan satu malam, malam Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan dan barang siapa yang diharamkan daripada kebaikan itu maka diharamkan mendapat kelebihan dan pahalanya.

Maksud pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. 

Puasa di bulan Ramadan adalah wajib menurut perintah Allah di dalam al-Quran, kelebihannya besar dan dosanya besar sekiranya meninggalkannya tanpa sebab yang dibenarkan.

Puasa bulan Ramadan bukan sahaja wajib bahkan kelebihannya besar. Allah Ta’ala memberi kelebihan ruh dan jasad dan pahalanya tidak terhingga. Ibadat-ibadat lain pahalanya sepuluh hingga tujuh puluh kali ganda tetapi ibadat puasa kita tidak tahu banyaknya. Allah Ta’ala menyimpan di sisi-Nya. 

Orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa sebab yang diizin oleh syarak maka dia telah melakukan dosa besar dan tidak mendapat kelebihan bulan Ramadan.

Allah Ta’ala menjanjikan syurga kepada orang yang beriman dan melakukan perbuatan baik, berpuasa adalah tanda iman, melakukannya pula adalah perbuatan baik yang wajib. Bulan Ramadan bukan sahaja diisi dengan puasa yang diwajibkan secara khusus, ibadat-ibadat wajib lain juga diteruskan bersama ibadat sunat sama ada berkaitan dengan 

Ramadan ataupun tidak. Ibadat-ibadat lain seperti sunat rawatib, sunat duha, sunat tahjud, sunat witir dan sedekah jariah perlu diteruskan di samping tadarus al-Quran dan bersikap pemurah memberi makan orang berpuasa

Jadi apabila ibadat terkumpul dengan amalan bersifat ruh, jasad dan harta ditambah lagi kelebihan Ramadan yang pahalanya berganda berbanding bulan-bulan yang lain ia menjadi bulan Ramadan sebagai pesta ibadat, perayaan ibadat. 

Orang beriman menjadi tetamu Allah lalu menikmati hidangan-hidangan Allah yang lazat berupa makanan ruhani dan jasmani yang dapat menguatkan kedua-duanya iaitu ruh dan jasad. Oleh itu sudah tentu Allah Ta’ala mengalukan tetamunya berlumba-lumba menuju hidangannya lantas Allah membukakan pula pintu syurga untuk mereka yang menghayati Ramadan itu dan menutup pintu neraka. Mereka layak mendapat keampunan dan rahmat Allah Ta’ala.

Sabda Rasulullah bersabda, “Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penutupnya dimerdehkakan daripada api neraka”.

Permulaan bulan Ramadan adalah rahmat daripada Allah, Allah Ta’ala memberi rahmat kepada kita bukan sahaja pahala bahkan memberi nikmat di bulan Ramadan ini iaitu nikmat kesihatan tubuh badan dan ruh. Pertengahannya keampunan, Allah Ta’ala mengampunkan dosa-dosa kita dan pentutupnya dimerdehkakan daripada api neraka”
.
Pada bulan ini bukti iman terkumpulnya dua perbuatan baik iaitu mengerjakan amalan baik dan meninggalkan larangan Allah. Mengerjakan ibadat wajib dan meninggalkan yang haram mendapat pahala daripada Allah. Kita meninggalkan makan-minum pada siang hari sedang ianya halal pada bulan-bulan lain.

Allah Ta’ala menjanjikan syurga kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan dengan ikhlas. 

Tuntutan daripada puasa itu juga adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkan iman. Ini kerana permulaan ayat ditujukan khusus untuk orang-orang beriman dan pada masa yang sama melakukan tuntutan puasa melahirkan takwa daripada iman.

Bagi orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, mereka meninggalkan kewajipan ini dan menolak perlindungan Allah melalui ibadat puasa yang menjadi perisai yang melindungi dirinya daripada maksiat dan godaan syaitan apabila mereka tidak berpuasa mereka sendiri yang merungkai belenggu syaitan yang Allah mengikatnya di bulan Ramadan lalu membuka kembali pintu neraka yang Allah tutup untuknya dengan meninggalkan puasa wajib itu mereka juga membuka pintu kejahatan yang lain lalu mereka melayakkan diri mereka menjadi ahli neraka.

Umrah Ramadan

Umrah Ramadan menyamai haji bersama nabi. Nabi Muhamad SAW bersabda, “Umrah bulan Ramadan kelebihannya menyamai haji bersamaku”. 

Mereka yang mampu mengerjakan umrah di bulan Ramadan diberi kepadanya haji bersama dengan nabi SAW. Ini bagi mereka yang berkemampuan. Mereka mungkin mempunyai wang yang mencukupi tetapi oleh kerana keperluan maka dia menyumbang untuk keperluan jihad apabila jihad menjadi fardu a’in. Jika jihad dia boleh beri dan umrah dia mampu juga maka dia mendapat dua kelebihan di bulan Ramadan.

Nabi Muhamad SAW telah bersabda wanita ansar, “Apabila tiba Ramadan kerjalah ibadat umrah kerana satu umrahnya menyamai satu haji”. Ini pesanan nabi kepada wanita-wanita ansar RA daripada penduduk Madinah.

Dihapuskan dosa

Nabi Muhamad SAW bersabda maksudnya, “Sembahyang lima waktu dari Jumaat ke Jumaat dalam bulan Ramadan menghapuskan dosa antara dua tempuh itu apabila meninggalkan dosa besar”. Hadis riwayat Muslim.

Dosa yang kita buat antara sembahyang lima waktu dihapuskan oleh Allah Ta’ala. Dosa yang dibuat antara Ramadan ke Ramadan dalam masa setahun dihapuskan apabila seseorang itu meninggalkan dosa besar.

Nabi Muhamad SAW bersabda maksudnya, “Dijauh daripada rahmat Allah kepada sesiapa yang berada dalam bulan Ramadan lalu tidak mendapat peluang keampunan Allah kerana tidak beribadat”.

Barangsiapa yang tidak beribadat di bulan Ramadan maka mereka ini jauh daripada rahmat Allah dan rugilah dia serugi-ruginya.

Dibebaskan daripada siksa neraka

Nabi Muhamad SAW bersabda maksudnya, “Di bulan Ramadan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberi kepada nabi sebelum aku. Pertama apabila tiba malam pertama bulan Ramadan Allah maha megah dan maha agong memerhati mereka siapa yang Allah perhatikan dia tidak menyiksa hamba itu selama-lamanya”. Allah Ta’ala memberi lima perkara daripada bulan Ramadan

Malam pertama Allah Ta’ala menilik hamba-hambanya maka Allah Ta’ala tidak menyiksa dia selama-lamanya.

“Kedua sesungguhnya apabila berubah bau mulutnya waktu petang adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi”.

Kedua bau mulutnya busuk kerana berpuasa harum di sisi Allah Ta’ala, harum macam bau kasturi dan Allah Ta’ala reda.

“Ketiga sesungguhnya para malaikat memohon ampun untuk mereka setiap hari dan malam”.

Setiap hari dan malam malaikat memohon ampun kepada orang-orang yang beriman di bulan Ramadan.

“Keempat Allah Ta’ala memerintah syurga dengan berkata, “Bersedia dan berhiaslah untuk hamba-hambaku kerana waktu hampir tiba bagi mereka berehat selepas penat di dunia”.
Ini seruan Allah Ta’ala bagi bulan Ramadan

“Kelima, apabila tiba malam terakhir Allah Ta’ala mengampunkan mereka semua”.
Itu adalah kelebihan Ramadan iaitu lima perkara. Lalu seorang sahabat yang berada di kalangan ramai itu bertanya, “Adakah ianya berlaku pada malam Qadar sahaja?”
Nabi Muhamad SAW menjawab, “Tidak, adakah kamu tidak melihat para pekerja yang bertugas sebaik sahaja selesai melaksanakan tugasnya dia terus diberi ganjarannya”. Hadis riwayat al-Baihaki

Pekerja yang bertugas diberi upah begitulah mereka yang bertugas di bulan Ramadan diberi pahala oleh Allah dan kelebihan tanpa mengira Lailatul Qadar atau pun tidak

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment