Thursday, November 10, 2016

ROMBONGAN JIN

Di dalam al-Quran ada empat puluh ayat lebih kurang dalam sepuluh surah menyatakan tentang jin dan ada surah yang khusus yang dinamakan suratul Jin di mana Allah mengisahkan satu rombongan jin telah mendengar al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW lalu mereka beriman. Kemudian mereka pulang ke tempat mereka dengan memberi peringatan kepada kaum mereka supaya beriman dengannya.

Di sini menunjukkan dalil daripada al-Quran memberitahu makhluk jin, makhluk yang ghaib yang termasuk di dalam: “Sifat-sifat orang yang bertakwa juga ialah orang yang beriman dengan perkara yang ghaib.”

Perkara yang diceritakan oleh Allah Ta’ala dan diceritakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis yang mutawatir. Antara makhluk ghaib ialah yang dinamakan jin dan ada kalangan mereka yang beriman, yang Islam menjadi saudara kita, kerana semua yang beriman dan Islam adalah saudara kepada kita.

Berhubung dengan perkara adanya rombongan jin yang terserempak dengan nabi SAW, Allah Ta’ala telah berfirman dalam surah Ahqaf ayat 29-31: “

Al-'Aĥqāf:29 - Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain):

"Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Al-'Aĥqāf:30 - Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

Al-'Aĥqāf:31 - "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ayat ini menceritakan satu rombongan jin yang terserempak dengan nabi SAW membaca al-Quranul Karim lalu ketua mereka minta rakan-rakannya diam, dengar apa yang dikatakan. Nabi SAW tidak nampak mereka kerana mereka makhluk yang ghaib. Nabi boleh nampak jika diizinkan oleh Allah Ta’ala.

Ayat ini menunjukkan bahawa rombongan jin ialah rombongan jin yang beragama Yahudi kerana mereka pernah mendengar kitab Taurah yang diwahyukan kepada nabi Musa AS. Mereka terang-terang mengatakan bahawa ini adalah kitab yang diturun oleh Allah selepas Musa membenarkan apa yang ada dalam kitab Taurah.

Beriman kepada Allah dan beriman kepada perkara-perkara penting dalam rukun iman iaitu serupa dalam kitab Taurah. Ini menunjukkan yang dibaca adalah kitab Allah dan yang membaca itu adalah rasul yang dilantik oleh Allah lalu mereka beriman.

Jika sesorang itu mengatakan dia percaya kepada Allah dan percaya Muhamad adalah Rasulullah dengan apa-apa bahasa pun maka ia sudah beriman dan masuk Islam walaupun tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Ulamak tafsir manafsirkan ayat ini mereka itu ialah rombong jin dari Nasibin berhampiran negeri Syam atau dari Nainawa berhampiran Musir iaitu daerah di negeri Iraq. Mereka datang secara kebetulan ketika nabi SAW bersembahyang bersama-sama dengan beberapa sahabat di suatu tempat dinamakan Nakhlah iaitu kampung di antara Mekah dan Taif ketika nabi SAW membaca surah al-Alaq menurut riwayat yang lain suratur Rahman.

Menurut Ibni Abas RA bahawa nabi SAW tidak menyedari kedatangan mereka dan bukanlah bertujuan untuk memperdengarkan bacaan itu kepada mereka tetapi kedatangan mereka secara kebetulan sahaja.

Mereka mendengar bacaan Quran, mereka berhenti dan mendengar dengan punuh perhatian.

Hadis riwayat Ibni Abas RA yang meriwayatkan dengan jelas lagi.

Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Termizi:

Sabda Rasulullah SAW:

Dari Ibni Abas RA katanya Rasulullah SAW tidak membaca al-Quran kepada jin dan tidak melihat mereka. Ketika Rasulullah SAW bersama beberapa orang sahabatnya pergi ke pasar Ukaz (tempat orang-orang Arab jahiliah berpesta) untuk berdakwah.

Kebetulan pada masa itu sesungguhnya telah dihalang para syaitan iaitu jin-jin kafir dari mencuri berita-berita dari langit dilontarkan ke atas mereka dengan tahi-tahi bintang.

(Selama ini jin-jin kafir boleh mencuri maklumat qodar dan takdir yang diturunkan oleh para malaikat ke bumi yang ditugaskan oleh Allah. Sesetengah ahli sehir dan ahli nujum mendapat maklumat tentang kelahiran rasul dan beberapa perkara yang berlaku kerana rakan-rakan mereka di kalangan syaitan memberi maklumat. Ada maklumat yang betul dan ada maklumat yang bohong.”

Di sinilah Firaun mendapat maklumat akan lahir seorang rasul di kalangan Bani Israil yang akan menjatuhkan kerajaannya. Lalu Firaun mengarah supaya dibunuh setiap kelahiran anak lelaki Bani Israil untuk menghalang kelahiran nabi Musa AS.

Seorang raja di Yaman bermimpi yang menggerunkan lalu ahli tadbir mimpi memberitahu akan zahir seorang rasul iaitulah rasul akhir zaman, nabi kita SWT disebut oleh Ibni Hisyam di dalam as-Sirah. Jadi ahli nujum ini mendapat maklumat daripada syaitan atau pun jin-jin kafir. 

Tiba-tiba berlaku satu keadaan yang menakutkan mereka iaitulah mereka diserang oleh serpihan-serpihan bintang yang dinamakan tahi-tahi bintang. “Sesungguhnya Kami hiaskan langit dunia dengan bintang-bintang cakrawala dan kami jadikan daripadanya serpihan-serpihan yang menyerang syaitan-syaitan yang hendak mencuri rahsia langit.

Mereka tidak boleh menghampiri kerana dilontar dengan serpihan-serpihan bintang yang boleh membinasakan mereka menyebabkan mereka tidak mendapat maklumat lalu ketua mereka mengatakan mesti ada perkara yang besar berlaku di bumi.

Bumi ialah tempat pusat pergerakan cakrawala yang diatur oleh Allah Ta’ala.

Mereka kembali kepada kaum mereka dan kaum mereka bertanya: “Apakah yang berlaku”

Mereka menjawab: “Kami telah dihalang dari mencuri berita dari langit dan diutuskan kepada kami dengan lontaran-lontaran dari tahi-tahi bintang.”

Kaum mereka berkata: “Apa yang berlaku menunjukkan ada sesuatu perkara yang telah berlaku pergilah kamu di timur dan barat di atas muka bumi dan cari dan lihatlah apa-apa yang menghalang kita dari mengetahui berita-berita dari langit.”

Lalu pemimpin mereka mengerahkan anak-anak buah mereka merantau di seluruh pelusuk bumi cari apa berita yang berlaku. Mereka pergi ke seluruh pelusuk bumi timur dan barat.

Tiba-tiba terserempak dengan rombongan nabi SAW dan sahabatnya yang menuju ke arah pasar Ukas ketika mereka berhenti di utara Mekah di Nakhlah bersembahyang Fajar apabila mereka mendengar bacaan al-Quran mereka mendengar dengan penuh pemerhatian lalu mereka berkata: “Inilah yang menghalang kita daripada mengetahui berita dari langit.”

Apabila mereka pulang menemui kaum mereka, mereka berkata: “Hai kaum kami sesungguhnya kami telah mendengar bacaan yang menakjubkan yang menghairankan memberi petunjuk kepada jalan yang benar lalu beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali mempersekutukan tuhan kami dengan sesuatu yang lain.

Rombongan ini sebaik sahaja mendengar al-Quranul Karim terus beriman dan masuk Islam kerana mereka pernah mendengar perkara yang sama dalam kitab Taurah yang diwahyukan kepada nabi Musa AS dan mereka adalah jin yang telah menganut agama nabi Musa AS.

Ayat-ayat dalam surah Jin diwahikan kepada Rasulullah SAW untuk memberitahu kepada manusia sama ada yang beriman atau pun yang tidak beriman bahawa adanya makhluk yang ghaib yang dinamakan jin.

Rombongan mereka menemui Rasulullah SAW secara terserempak dalam keadaan Rasulullah SAW tidak mengetahui mereka ada. Allah mendedahkan rombongan ini mendengar Quran yang dibaca lalu mereka beriman dan masuk Islam.

Ini menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang percaya kepada Allah tidak ada tuhan yang lain daripadanya dan percaya kepada nabi Muhamad SAW walaupun tidak mengucap dua kalimah syahadah maka jadilah dia beriman.

Dari segi lapaz untuk mengesahkan ialah mengucapkan dua kalimah syahadah. Walaupun dia tidak berlapaz dengan dua kalimah syahadah tetapi menunjukkan dia percaya kepada apa yang dia sebut dalam dua syahadah itu: percaya kepada Allah tuhan yang satu menolak tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, percaya kepada nabi Muhamad SAW maka Islam dan berimanlah ia.

Allah Ta’ala menurunkan satu surah yang dinamakan suratul Jin mengesahkan rombongan jin beriman kepada Allah dan rasul-Nya Muhamad SAW.

Firman Allah Ta’ala surah al-Jin ayat 1-19: “Katakanlah hai Muhamad SAW telah diwahyukan kepada aku bahawa sanya telah mendengar sekumpulan jin akan al-Quran lalu mereka berkata sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar lalu kami beriman kepadanya.”

Ayat ini jelas menceritakan satu rombongan jin yang terserempak dengan Rasulullah SAW. Para ulamak tafsir mengatakan ketika Rasulullah SAW diiringi oleh beberapa orang sahabat pergi ke tempat orang-orang Arab berpesta di zaman jahiliah.

Mereka berhimpun di situ dan nabi pergi untuk berdakwah. Dalam perjalanan pulang sampai di satu tempat yang dinamakan Nafrah, nabi bersembahyang Subuh membaca Fatihah dan surah-surah, rombongan jin terserempak lalu mengerumuni nabi dan mendengar apa yang nabi baca Quran dan mereka beriman kepada Allah.

Kata mereka dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Kami beriman kepada Allah tuhan yang satu. Ini menunjukkan jin percaya kepada ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH dan bahawa sanya maha tinggi kebesaran tuhan kami. Ia tidak beristeri tidak pula beranak dan bahawa sanya orang kurang akal dari kalangan kami selalu mengatakan perkataan yang melampaui batas terhadap Allah.

Ini bermakna di kalangan mereka ada musyrikin yang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Jadi di kalangan jin ada yang kafir dan menganut berbagai-bagai agama. Sesungguhnya kata mereka: Kami mengira bahawa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah. Allah yang menjadikan seluruh alam termasuk manusia dan jin.

Tidak ada tuhan melainkan Allah. Tidak ada hukum syariat yang patut diamalkan melainkan hukum syariat Allah SWT. Kita tidak boleh mengadakan hukum syariat sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT.

Di kalangan manusia ada yang menyengutukan Allah, mengadakan hukum syariat dan beramal dengan hukum syariat yang lain daripada Allah maka di kalangan kami makhluk jin ada juga begitu.

Ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki di di kalangan jin maka mereka menjadikan jin itu bertambah sombong. Ada manusia yang memuja jin menyebab jin yang dipuja menjadi sombong.

Mereka terdiri di kalangan bomoh, ahli nujum, ahli-ahli sehir dan memang ada di kalangan jin yang suka dipuja.

Orang Arab bila sampai di lembah mereka berkata: “Selamat sejahtera kepada tuan punya lembah ini.” Kalau orang Melayu: “Hei jin tanah, jembalang tanah, jin gunung jembalang gunung, jin laut jembalang laut.”

Orang zaman dahulu memuja jin laut dan jika tidak puja sukar mendapat ikan. Ini adalah kerja-kerja syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, menyebabkan jadi sesat.

Kadang-kadang Allah Ta’ala sengaja beri apa yang mereka mahu. Mereka yang memuja jin serba menjadi, berubat sembuh tetapi berubat dengan ayat Quran tidak sembuh. Sembahyang hajat tidak dapat ikan tetapi puja jin dapat tangkap banyak ikan. Jadi Allah Ta’ala uji manusia.

Ada manusia yang sesat dan ada jin yang sesat. Sesungguhnya jin menyangka sebagaimana persangkaan orang-orang kafir Mekah bahawa Allah sekali-kali tidak akan membangkitkan seseorang rasul itu sebagaimana orang-orang kafir Mekah tidak percaya kepada rasul yang diutuskan oleh Allah, begitulah di kalangan jin tidak percaya kepada rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah.

Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui rahsia langit maka didapati penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit untuk mendengar berita-beritanya tetapi sekarang barang siapa yang cuba mendengarnya seperti itu tentu akan menjumpai panah api yang mengintai untuk membakarnya.

Rombongan jin mendedahkan dulu mereka terbang di udara dan menetap di udara, mencuri rahsia-rahsia langit yang dibawa oleh malaikat-malaikat Allah untuk menurunkan apa-apa perkara terhadap makhluk yang ada di bumi. Mereka boleh mencuri rahsia itu dan memaklumkan kepada ahli-ahli nujum. Ahli nujum memberitahu berita yang betul-betul berlaku.

Sebagaimana ahli nujum dan ahli tadbir mimpi Firaun, apabila Firaun bermimpi dengan mimpi yang menakutkan, dia memberitahu kepada ahli nujum dan ahli tadbir mimpinya. Mereka memberitahu kepada Firaun akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israil yang akan menjatuhkan kerajaan Mesir. Maka Firaun mengarahkan seluruh petugas-petugasnya di kampung-kampung membunuh anak-anak lelaki Bani Israil yang dilahirkan untuk menghalang kelahiran nabi Musa AH. Perancangan Allah tidak boleh dihalang, Musa dibesarkan di mahligai Firaun.

Begitulah seorang raja Yaman bermimpi dengan mimpi yang menakutkan, ahli-ahli sehir dan ahli tadbir mimpinya memberitahu akan lahir seorang rasul akhir zaman yang akan menguasai dunia.

Kisah-kisah itu yang disebut dalam Quran menunjukkan bahawa Allah Ta’ala izinkan jin mencuri rahsia-rahsia yang hendak diturunkan oleh Allah ke bumi.

Bila nabi SAW dilahirkan Allah Ta’ala tutup dan jin tidak dapat lagi mencuri rahsia-rahsia itu. Bila jin menghampiri kawasan itu mereka dipanah oleh serpihan-serpihan bintang.

Firman Allah Ta’ala: “Dan sesungguhnya kami hiaskan langit dunia dengan lampu-lampu bintang cakrawala dan kami jadikan daripada bintang itu serpihan-serpihan yang merejam syaitan-syaitan dan kami sediakan untuk syaitan itu azab yang membakar mereka.”

Sekarang azab itu telah berlaku. Mereka balik kepada ketua mereka memaklumkan apa yang berlaku iaitu mereka tidak boleh lagi mencuri rahsia langit. Ketua mereka mengatakan ini mesti berlaku perkara yang besar di bumi.

Mereka pun musafir ke seluruh pelusuk bumi mencari rahsia, tiba-tiba rombongan jin ini berjumpa dengan rahsia itu ialah nabi Muhamad SAW.

Sesungguhnya kami tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi apakah tuhan menghendaki kebaikan bagi mereka. Mereka bercakap bila mereka tidak dapat mencuri rahsia langit kerana direjam.

Apalah yang berlaku? Boleh jadi satu bencana akan berlaku kepada penduduk bumi atau akan berlaku suatu perkara yang baik. Sebenarnya dua-dua berlaku. Perkara yang baik ialah kedatangan nabi Muhamad SAW dan perkara yang buruk ialah bila tidak ikut nabi Muhamad SAW tidak ada lagi orang beriman dan bumi akan dimusnahkan.

Sesungguhnya di antara kami ada jin-jin yang solih dan ada yang tidak begitu. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza dan kami menghadapi keadaan yang berbeza-beza. Ada yang beriman dan ada yang tidak beriman.

Di kalangan kami yang beriman pula mengikut berbagai-bagai mazhab bergantung kepada tempat guru kami belajar. Ada mazhab Syafie, Hanafi, Maliki, Hambali, Suni, Syiah dan Kowaraisy. Bergantung di mana tempat mereka belajar.

Mereka datang ke masjid-masjid untuk mendengar pengajian agama. Jika guru yang mengajar itu betul maka betullah dan jika guru yang mengajar itu salah maka salahlah.

Di sinilah kita disuruh: “Tunjukkanlah kami jalan yang betul.” Kita tidak tahu mana yang betul mana yang salah. Tidak cukup dengan belajar sahaja tetapi kena berdoa kepada Allah Ta’ala. Allah Ta’ala akan tunjuk jalan yang betul.

Kata jin begitulah keadaan kami. Kami juga ada yang mengikut jalan yang betul dan ada yang mengikut jalan yang salah dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami tidak akan sekali-kali dapat melepaskan diri dari kekuasaan Allah di muka bumi ini dan tidak juga dapat melepaskan diri daripada-Nya dengan lari. Kami sedar kata jin kami tidak boleh lari daripada langit dan bumi Allah dan tidak boleh lari daripada kerajaanaHHH H Allah SWT.

Di sini jin berkata kami tidak boleh lari daripada kerajaan Allah dan sesungguhnya tatkala mendengar petunjuk al-Quran kami beriman kepada-Nya. Dalam surah yang lain, bila mendengar al-Quran serupa dengan Taurah yang diturun kepada nabi Musa AS dan Taurah pula menyebut akan lahir nabi akhir zaman.

Barang siapa beriman kepada tuhannya maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak takut pula akan penambahan azab. Dan sesungguhnya di antara kami ada jin-jin yang taat dan ada pula jin-jin yang menyimpang dari kebenaran.

Ajaran yang dibawa oleh Quran mengajar barang siapa yang membuat baik dapat pahala, barang siapa yang membuat jahat berdosalah. Tetapi di kalangan kami ini ada yang taat dan ada yang menyeleweng.

Barang siapa yang taat kepada Allah, taat kepada rasul yang membawa ajaran Allah bermakna ia telah memilih as-Syiratal Musytakim, jalan yang lurus iaitu jalan yang betul.

Adapun jin-jin yang menyimpang dari kebenaran maka mereka menjadi kayu api untuk neraka jahanam.

Diberi amaran mana-mana jin yang menyeleweng daripada as-Syiratal Musytakim menjadi umpan api neraka. Samalah dengan manusia juga.

“Bahawa sanya jika mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu yakni agama Islam pasti Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar, rezeki yang banyak untuk Kami mencuba padanya.

Ini janji Allah yang disebut dalam Quran yang disampaikan oleh nabi Muhamad SAW dan jin ini mendengar.” Barang siapa yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang solih Allah akan memberi rezeki yang berkat dan air yang menyegarkan.

Disebut di dalam kitab-kitab kalau kita berjalan malam jangan membuang air kecil di tempat air yang bertangkung atau di lubang-lubang kerana mungkin di situ ada makhluk jin.

Mungkin ada jin yang sedang tidur dalam lubang itu dan bila buang air kecil kebetulan kena atas kepalanya dia akan marah dan akan berlakulah gangguan ke atas kita. Dia fikir kita sengaja berbuat demikian kerana dia tidak tahu yang kita manusia tidak nampak mereka.

itu kita hendaklah cermat membuang air besar atau air kecil.

Allah Ta’ala memberi rezeki kepada mereka dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan tuhan-Nya nescaya akan dimasukkannya ke dalam azab yang amat berat. Baik jin baik manusia jika berpaling daripada amaran Allah Ta’ala akan menerima azab yang berat.

Sesungguh-sungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah dan jin bebas pergi ke masjid sebagaimana manusia pergi ke masjid untuk beribadat kepada Allah. Sembah Allah dalam masjid itu jangan menyembah selain daripada Allah.

Kalau tidak ada masjid kita boleh sembahyang di mana-mana sahaja. Allah Ta’ala jadikan bumi adalah masjid kepada umat Muhamad SAW di kalangan manusia dan jin.

Bahawa sanya tatkala hamba Allah yakni Muhamad SAW berdiri menyembah-Nya, mengerjakan ibadat hampirlah jin-jin itu bersesak-sesak mengerumuninya melihat dan mendengar apa yang nabi buat dan nabi baca. Mereka itu kerapkali mengutus rombongan menemui Rasulullah SAW.

Antaranya riwayat mutawatir dari Ibni Mas’ud RA bahawa beliau pernah menemani Rasulullah SAW pada malam pertemuannya dengan jin. Ibni Mas’ud ditinggalkan di suatu yang ditandakan oleh Rasulullah SAW dan Ibnu Mas’ud tidak dibenarkan keluar dari tempat itu sehingga Rasulullah SAW pulang dan memberitahu Ibni Mas’ud tentang pertemuannya dengan rombongan jin.

Nabi memperdengarkan kepada mereka akan al-Quran dan mengajak mereka kepada Islam. Lalu mereka memeluk Islam kemudian mereka mengundurkan diri sebagai golongan yang beriman untuk memperingati kepada kaum mereka supaya beriman dengan risalah nabi Muhamad SAW.”

Ketika nabi SAW bertemu dengan rombongan jin di tengah malam yang gelap Ibni Mas’ud ditunjukkan kepadanya macam-macam jenis jin datang dan mendengar perbualan dengan nabi SAW dan perbalahan sesama mereka yang diselesaikan oleh nabi. Selepas akhir malam baharulah selesai.

Hadis ini hadis mutawatir yang wajib kita percaya dan beriman kerana diberitahu oleh nabi SAW.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment